Friday, March 14, 2008

Arab Saudi nak bina bangunan setinggi 1.6km

DUBAI 13 Mac – Negara-negara Asia Barat berlumba-lumba membina bangunan tertinggi di dunia, dengan perkembangan terbaru Arab Saudi merancang membina bangunan paling tinggi di dunia setinggi 1,600 meter di Jeddah.

Langkah Arab Saudi yang merupakan pengeluar minyak terbesar di dunia itu dikatakan bakal menggugat projek pembinaan bangunan tertinggi lain yang sedang dibina di rantau Teluk itu.

Menurut kenyataan Middle East Economic Digest (MEED), Arab Saudi akan mengatasi kehebatan jiran-jirannya seperti Kuwait dan Dubai yang terkenal dengan projek pembinaan bangunan tertinggi dan berisiko tinggi di dunia.

Ketika ini, projek bangunan dan menara tertinggi di dunia yang dalam pembinaan ialah New York Freedom Tower setinggi 700 meter, di New York.

Sementara itu, MEED melaporkan pemaju projek itu, Riyadh Kingdom Holdings yang dikuasai jutawan Arab Saudi, Putera Al-Walid Talal akan membuka bidaan untuk kontrak membina bangunan itu pada Julai ini.

Jelas MEED, walaupun nama syarikat-syarikat yang terlibat bagi membina bangunan itu masih dirahsiakan, tetapi dua syarikat dari Britain, Hyder Consulting dan Arup dilaporkan akan bekerjasama menjayakan projek berkenaan yang bernilai AS$10 bilion (RM31.6 bilion).

Syarikat gergasi Amerika Syarikat, Bechtel pula telah dipilih sebagai pengurus pembinaan, manakala firma Arab Saudi, Omrania dipilih sebagai arkitek projek itu.

Baru-baru ini, Kuwait juga telah menyatakan rancangannya untuk membina menara setinggi 1,001 meter yang akan menggunakan seni bina klasik Arab yang dikenali sebagai projek One Thousand and One Night.

Tiga bahagian leper utama akan dibina meliputi masjid, gereja dan bangunan yang menggambarkan perpaduan antara tiga agama monoteistik.

Bangunan yang bakal menjadi salah satu projek yang diuar-uarkan dalam projek City of Silk menelan kos sebanyak AS$77 bilion (RM243.32 bilion).

– AFP

sumber

1 comment:

Hamzah A said...

Sesuai dengan protokol Zionis bahawa salah satu protokol itu ialah menyebarkan projek2 mewah yang akan menelan kekayaan mereka..