Saturday, March 15, 2008

Perlis Bakal Huru-hara?

Konflik berebut jawatan MB Perlis masih berlarutan
Bashir Ishak
Sat | Mar 15, 08 | 12:27:35 pm MYT

KANGAR, 15 Mac (Hrkh) - Siapa Menteri Besar kami? Mungkin itu yang sedang berlegar di fikiran rakyat Perlis sehingga hari ini.

Ini berikutan situasi terkini apabila wujudnya dua nama yang bakal mengisi jawatan panas tersebut.

Semalam, umum mengetahui pihak Istana Perlis telah memperkenankan perlantikan Dato' Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar sedangkan penyandang, Dato' Seri Shahidan Kassim pula membawa watikah perlantikan daripada Perdana Menteri.

Sekali imbas ianya dilihat seperti wujudnya konflik antara Istana Perlis dan Putrajaya dan siapakah yang lebih berkuasa di atas perlantikan ini?

Md Isa dilantik berdasarkan peruntukan yang termaktub di dalam undang-undang di mana Raja Perlis berhak melantik seorang Menteri Besar sedangkan Shahidan pula mempertahankan beliau membawa mandat partinya, Barisan Nasional.

Drama perlantikan Menteri besar Perlis ini adalah rentetan pelbagai episod yang berlaku sejak dua bulan lalu.

Seperti yang diketahui umum, baru-baru ini, Setiausaha Agung Umno, Dato' Radzi Sheikh Ahmad secara terbuka menyatakan Menteri Besar Perlis perlu ditukar.

Kemyataannya itu sekali gus membuka pekung Umno Perlis yang mempunyai masalah kepimpinan di peringkat tertinggi dan dilihat berpuak-puak.

Menjelang penamaan calon untuk pilihan raya umum (PRU) yang lalu, sekali lagi berlaku kekecohan apabila dikatakan nama Shahidan terkeluar daripada senarai calon.

Berlaku kekecohan di Perlis sehinggakan ada pihak yang meletakkan jawatan beramai-ramai, bendera parti diturunkan, bilik gerakan ditutup dan sebagainya.

Lebih teruk, ada ura-ura mengatakan protes besar-besaran akan dibuat sehingga melibatkan pihak istana.

Hanya sehari menjelang penamaan calon barulah senarai calon BN Perlis dapat diumumkan. Itupun masih wujud kontroversi bila awalnya Dato' Mastika Junaidah Hussin diumumkan sebagai calon Parlimen Arau tetapi kemudiannya digantikan dengan adik Shahidan, Ismail Kassim.

Pada malam pengumuman kemenangan calon-calon yang bertanding dalam PRU di Dewan Sivik Arau, secara terang-terangan dilihat masih wujud perselisihan di kalangan pimpinan Umno Perlis apabila calon Dun Pauh, Dato' Seri Utama Syed Razlan Putra Jamalullail diumumkan sebagai pemenang.

Pada masa itu hanya penyokongnya sahaja yang bertepuk-sorak meraikan kemenangan sedangkan pemyokong-penyokong Shahidan yang turut berada di dalam dewan tersebut hanya berdiam diri.

Selepas tamatnya PRU dan BN berjaya menguasai Perlis, kedudukan Shahidan masih menjadi tanda tanya sedangkan hampir semua negeri telah menyelesaikan perlantikan Menteri Besar masing-masing.

Desas-desus menyatakan beliau tidak disenangi oleh pihak Istana Perlis bertiup kencang dan beberpa nama disebut-sebut sebagai pengganti.

Para pemerhati politik kini sedang meramalkan apakah tindakan Shahidan selanjutnya untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Perlis?

Apakah dengan watikah dari Perdana Menteri itu beliau sanggup menebalkan mukanya untuk mengadap Tuanku Raja Perlis sedangkan baginda sendiri telah memperkenankan Md Isa sebagai Menteri Besar?

Tinjauan Harakahdaily malam tadi mendapati para penyokong Shahidan mula memenuhi perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar untuk mengetahui perkembangan terkini.

Sementara di kediaman Md Isa di Taman Guru Jaya dekat sini terdapat beberapa orang penyokongnya yang sedang berkumpul di samping terdapat sebuah trak polis yang sedang berkawal.

Polis juga mengadakan kawalan di hadapan Istana Arau dan juga Istana Raja Muda di Jalan Raja Muda dekat sini. - mns

sumber

1 comment:

MR. SATU UMAT said...

Shahidan enggan beralah, sedia jadi pembangkang di Perlis
Posted on Saturday, March 15 @ 12:50:40 MYT by SongkokPutih

Analisis Isu Oleh kelantankini

" “Sekarang suasana sudah keruh betul. Sebab ada dalang-dalang yang busuk hati” - Shahidan

KEMELUT pembentukan kerajaan negeri di Perlis terus buntu apabila bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Shahidan Kassim menyatakan kesediaan beliau untuk menjadi pembangkang kepada kerajaan diterajui Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Dr Md Isa Sabu yang mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Shahidan yang menjadi Menteri Besar Perlis sejak 1995 mendakwa pelantikan Md Isa sebagai Menteri Besar Perlis tidak mendapat pengiktirafan kerajaan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Saya mendapat mandat daripada Pengerusi BN supaya mengetuai kerajaan Perlis. Jadi siapa angkat sumpah (selain daripada saya), dia dianggap bukan (dapat sokongan) BN. Jadi saya akan jadi pembangkanglah,” katanya.

Shahidan turut mengingatkan semua pihak bahawa beliau mempunyai tempoh selama 120 hari untuk ‘berbuat sesuatu’.

Menurut beliau, surat watikah daripada Abdullah telah diterimanya Selasa lalu bagi meminta Raja Perlis melantiknya sebagai Menteri Besar di negeri itu.

“Tapi kalau Raja Perlis tidak mahu melantik sebab ada undang-undang yang mengatakan Tuanku boleh melantik (calon) yang boleh memberi keyakinan kepada Dewan Undangan Negeri, itu hak Tuankulah.

“Hak rakyat yang pilih BN, kita akan cari tengok macam mana. Sebab rakyat pilih BN, dia bukan pilih individu. Oleh kerana rakyat pilih BN, maka BNlah yang akan memerintah.

“Kalau orang lain daripada saya (dilantik) dan sekiranya dia pergi juga (angkat sumpah), maka dia dianggap pembangkanglah,” katanya.

Mengulas mengenai status Mat Isa yang juga merupakan wakil rakyat BN, beliau berkata: “Selepas petang ini (Jumaat) dia sudah tidak jadi BN, tidak menyokong saya, tidak menyokong Perdana Menteri. (Wakil rakyat) BN apa kalau tidak menyokong Perdana Menteri? Itu pembangkang,” tegasnya.

Ditanya apakah punca kepada segala kemelut itu, Shahidan tidak menafikan ia datang daripada pemimpin UMNO sendiri.

“Saya tidak tahu. Saya tidak mahu cakap lagi. Bagilah saya peluang. Bagilah peluang terbaik. Nanti tuan-tuan dan puan-puan akan mengeruhkan lagi suasana. Sekarang suasana sudah keruh betul. Sebab ada dalang-dalang yang busuk hati,” katanya.

Sementara itu Anggota Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta Shahidan Kassim supaya akur dengan dengan keputusan Raja Perlis.

Katanya, Raja mempunyai kuasa mutlak mengikut perlembagaan negeri itu untuk melantik Adun Bintong, Dr Md Isa sebagai Menteri Besar Perlis yang baru.

“Ia (pelantikan menteri besar) adalah salah satu daripada tiga kuasa yang dimiliki Sultan dan Raja setiap negeri selain hak membubarkan Dewan Undangan Negeri dan memanggil mesyuarat berhubung hak keistimewaan orang melayu dan raja-raja,” katanya.

Dalam perkembangan sama, rakyat Perlis khususnya penyokong-penyokong BN kini kebingungan berhubung kemelut yang mengenai siapa bakal mengetuai kerajaan negeri itu.

Ramai kalangan rakyat Perlis kebingungan kerana sebelumnya Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan sebagai bakal mengekalkan kerusi nombor satu itu.

Ketika banyak penduduk terutama di kawasan Tambun Tulang yang diwakili Shahidan begitu gembira dengan perkhabaran awal pagi semalam, kini kebingungan dengan perkembangan terbaru itu.

Petang semalam, orang ramai mula hadir di perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar Perlis di Jalan Kolam di sini namun Shahidan tiada di kediaman itu.

Kemelut berkenaan mula heboh semalam apabila Setiausaha Sulit kepada Raja Perlis, Mohd Adib Zakaria mengumumkan Raja Perlis berkenan untuk melantik Adun kawasan Bintong, Datuk Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis yang baru sekaligus mengetepikan Shahidan Kassim yang sangat mengidamkan jawatan berkenaan kekal kepadanya.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media di hadapan Istana Siraj di ibu negara kira-kira 2.30 petang semalam, Mohd Adib berkata pelantikan Md Isa dibuat mengikut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

“Peruntukan itu menyebut Raja hendaklah melantik seorang yang pada fikirannya mendapat kepercayaan ramai ahli menjadi Menteri Besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri.

“Berdasarkan peruntukan ini dan selepas berpuas hati dengan kemampuan untuk mendapat sokongan majoriti daripada Adun, Tuanku Raja Perlis berkenan melantik Md Isa sebagai Menteri Besar Perlis berkuat kuasa 14 Mac 2008 (semalam),” katanya.

http://kelantankini.com