SEMALAM aku dan rombongan Yayasan Salam Malaysia meronda lagi. Aku dibawa dalam sebuah bas yang disediakan khas oleh pemerintah Gaza meninjau beberapa kawasan yang musnah akibat bedilan tentera Zionis Israel.
Beberapa orang Ahli Parlimen dari Maghribi turut serta dalam rombongan itu. Mereka mendapat layanan istimewa daripada pemimpin Hamas kerana Maghribi menghantar kira-kira 20 doktor untuk membantu beberapa hospital di sini.
Lawatan pertama hari ini ialah Universiti Islam Antarabangsa Gaza, salah sebuah universiti terbesar di Gaza.
Pegawai kanan universiti membawa kami mengelilingi kampus, menunjukkan kemusnahan Fakulti Sains terutama beberapa bilik makmal.
Mujurlah universiti itu dibedil pada sebelah malam ketika ia lengang tanpa penuntut. Jika dibuat sebelah siang, saya percaya ramai penuntut akan terkorban, kata seorang pensyarah kanan.
Bangunan makmal itu terletak bersebelahan pejabat pentadbiran utama yang terselamat daripada bedilan.
Namun, cermin tingkap dan pintu pejabat pentadbiran pecah dan kini diganti dengan plastik putih.
“Ia tidak boleh menahan sejuk,” kata Naib Pengarah universiti itu, Husam Khalil Ayesh.
Di sekitar kampus, penuntut berehat di taman sambil menunggu kelas. Mereka kelihatan riang.
Ada yang melambai-lambai kepada kami. Ada juga beberapa penuntut wanita bertudung penuh, yang kelihatan cuma dua biji mata sahaja.
0 comments:
Post a Comment