Sunday, February 8, 2009

Gaza- Keguguran Bayi Meningkat

RAFAH 7 Feb. - Kehilangan nyawa akibat keganasan Israel ke atas Gaza jauh lebih besar daripada angka yang dilaporkan kerana wilayah itu kini berhadapan dengan krisis kematian bayi dalam kandungan dan kelahiran tidak matang kesan daripada serangan rejim Zionis itu.

Akibat daripada konflik terbaru itu banyak bayi dilahirkan tidak cukup bulan dan meninggal dunia.

Kemudahan di hospital yang serba kekurangan turut menyulitkan lagi keadaan dan tidak mampu memberi dan menyediakan rawatan yang sewajarnya kepada ibu mengandung dan bayi terbabit.

Para sukarelawan yang baru keluar dari Gaza memberitahu, kematian bayi di dalam kandungan dan kelahiran pra-matang merupakan antara krisis baru selepas serangan Israel di Gaza.

Menurut mereka, setiap bulan kira-kira 1,000 bayi di lahirkan di Gaza dan unit bersalin di hospital tidak mempunyai kemudahan yang lengkap terutama untuk berhadapan dengan kes-kes kelahiran akibat trauma kesan serangan itu.

Menurut Dr. Farhan Naser, pakar badah kanak-kanak dari Syria, ketika perang wanita mengandung akan berada dalam keadaan tertekan.

"Ini akan menyebabkan keguguran atau kelahiran pra-matang. Kematian pra-matang ini meningkat sekali ganda dalam tempoh terdekat ini.

"Bayi dilahirkan dalam tempoh 22 atau 23 minggu. Ini terlalu awal untuk mereka hidup," katanya yang terpaksa meninggalkan wilayah Gaza ekoran penutupan pintu sempadan oleh Mesir.

Katanya, dengan keadaan yang masih tidak menentu di Gaza yang kadang kala masih ada aktiviti pengeboman oleh Israel menggunakan pesawat tanpa pemandu, wanita yang mahu bersalin kadang-kadang tidak dapat sampai ke hospital pada masanya.

Oleh itu kata Farhan, jika berlaku kelahiran pra-matang sebelum tiba ke hospital sukar untuk bayi itu diselamatkan.

Sementara itu agensi bantuan Islamic Relief Palestin (IR-PAL) memberitahu, terdapat satu kejadian ketika Gaza dihujani dengan serangan Israel, seorang wanita dibawa dari Zeitun dengan ambulans ke hospital dalam keadaan dipenuhi darah.

Wanita itu menangis dan berada dalam ketakutan yang amat sangat dan dia tidak tahu di mana bayinya yang baru saja dilahirkan ketika serangan itu berada.

Dia sebenarnya telah melahirkan bayinya di dalam rumah mereka yang telah hancur akibat dibom oleh Israel. Ekoran keadaan kelam kabut dia diangkat ke dalam ambulans dalam keadaan separuh sedar, terkejut dan kesakitan amat sangat serta tidak tahu apa terjadi kepada bayinya. - MINGGUAN

Wanita itu berjaya diselamatkan oleh doktor, tetapi bayinya tidak dapat dikesan dan tidak tahu apa nasib bayi malang itu.

Menurut IR-PAL, itu bukan satu-satunya kes seperti itu. Banyak lagi kes sedemikian yang berlaku. Kadang-kadang bayi ditemui dalam timbunan runtuhan rumah, Ada yang hidup dan ada yang sudah tidak bernyawa.

0 comments: