Sunday, February 22, 2009

Jordan Tidak Mesra Aktivis Islam

BINGKISAN DARI YAMAN

Jordan Tidak Mesra Aktivis Islam

Oleh: Imran al-Malizi

Sudah hampir dua minggu berada di Jordan. Tak lama lagi saya akan pulang ke Yaman. Ada beberapa pengalaman yang mengajar saya dalam rehlah pada kali ini tentang Islam yang menjadi asing pada zaman ini dan orang-orang yang berpegang dengan Islam juga menjadi orang-orang yang dagang. Dari kalangan teman dan kenalan para pembaca Harakah, ada yang meminta saya menulis tentang pengalaman di Jordan untuk dimuatkan dalam kolum minggu ini.

Bermula dari mula berlepas. Semasa saya keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sana’a, menaiki bas perantara bersama para pelancong asing menuju ke pesawat (biar saya rahsiakan nama syarikat penerbangan itu) secara tiba-tiba saya diperiksa seperti seorang penjenayah sebelum dibenarkan masuk ke pesawat. Ini pertama kali terjadi sepanjang pengalaman saya menggunakan perkhidmatan rehlah udara. Bukankah semasa melalui pintu kawalan keselamatan di dewan berlepas tadi sudah diperiksa semua penumpang hinggakan apa sahaja logam seperti kunci, syiling dan lain-lain pun mesti keluarkan semasa melaluinya? Saya cuma tersenyum sambil memikirkan mengapa para pelancong lain tidak diperiksa seperti itu?

Ketika sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Permaisuri Alia di Amman, saya tercari-cari laluan untuk beratur mendapatkan cop kebenaran masuk. Akhirnya kelihatan papan tanda yang kalau tak silap bertulis “Lighairil-Urduniyyi n” (for non-Jordanian) . Saya pun beratur bersama para penumpang yang lain. Tiba-tiba datang seorang pegawai beruniform menghampiri saya. Di wajahnya terukir rasa curiga melihat penampilan saya yang berjubah dan berjambang. Saya disuruh berundur ke belakang menjauhi para penumpang lain lalu dia bertanya dalam bahasa Inggeris tentang tujuan kedatangan saya ke sana. Saya menjawab untuk tujuan ziarah. Apabila menyedari saya boleh bertutur dalam bahasa Arab, dia meminta pasport saya lalu memeriksanya. Rupa-rupanya sebelum beratur di situ saya perlu mendapatkan visa masuk terlebih dahulu di kaunter sebelah belakang. Ya, memang saya diberitahu bahawa pendapatan negara itu bergantung pada sektor pelancongan. Maka untuk masuk, kita perlu membayar 10 dinar (RM50). Kemudian saya disuruh beratur di kaunter no.3 bukan dalam barisan yang sebelum ini. Tiba di hadapan kaunter tersebut, saya ditanya oleh pegawai imigresen tentang tujuan kedatangan ke Jordan. “Untuk ziarah,” ujar saya ringkas. Kemudian pertanyaan lebih serius dilontarkan selepas mendapati saya datang dari Yaman. Mereka perlukan maklumat terperinci di mana saya akan tinggal, bersama siapa, nombor telefon dan sebagainya. Malang bagi saya, kerana telefon bimbit ketiadaan sim card. Tiada nombor perhubungan yang dapat saya berikan. Tambah meragukannya apabila saya sendiri tidak tahu ke mana saya akan pergi. Memanglah, saya jelaskan ada sahabat yang menunggu di luar sana dan saya hanya akan mengikut ke mana tempat menginap yang ditentukan oleh para pelajar di sana. Pegawai beruniform tadi datang menghampirinya lalu mereka bercakap sesama sendiri. Kemudian gambar saya diambil sebelum saya disuruh ‘berehat’ selama hampir 3 jam 30 minit. Saya menunaikan solat subuh di hadapan kaunter transit. Ketika itu suasana sudah lengang. Tempoh itu berlalu dengan sangat perlahan dengan berbagai-bagai persoalan bermain di kotak fikiran. Jika diarahkan supaya berpatah balik, saya terpaksa akur. Saya hanya dibenarkan memasuki Jordan sekitar jam 8.30 pagi. Itu pun dengan beberapa kondisi. Alhamdulillah, sahabat saya masih setia menunggu di luar walaupun dengan penuh kerisauan. Beberapa urusan perlu dibuat kerana beg saya sudah dibawa ke bahagian perkhidmatan bagasi kerana kelewatan mengambilnya tadi.

13 Februari 2009, saya diberikan penghormatan untuk membentangkan kertas kerja bertajuk “Islam dan Terrorism” dalam Persidangan Tahunan Mahasiswa Jordan. Pada sebelah pagi, 4 kertas kerja telah dibentangkan oleh wakil-wakil pertubuhan pelajar timur tengah dari Jordan, Mesir dan Arab Saudi. Selesai solat Jumaat, tiba giliran saya dan perwakilan dari Syria. Namun kehendak Allah mengatasi segala-galanya. Semasa makan tengahari, kami diberitahu program itu terpaksa ditamatkan serta-merta setelah mendapat arahan daripada pihak keselamatan dalam negara itu. Alasannya, ada pelajar yang menjual barang-barang cenderamata berkaitan Palestin yang tertera lambang pergerakan politik tertentu. Sebagai orang luar, saya merasakan tiada siapa yang harus dipersalahkan dalam soal ini. Ada hikmah yang hanya Allah Maha Mengetahui. Masih ingat, gambar dan keterangan saya telah diambil semasa di airport. Pastinya alasan berziarah itu terlalu umum. Jika mereka mendapat tahu saya diundang untuk bercakap tentang isu keganasan dalam universiti milik kerajaan ini tentu ada risikonya buat diri saya dan pihak penganjur. Kerajaan Jordan sudah dikenal sebagai sekutu AS dan Israel berhubung isu Palestin.

Alhamdulillah, pihak penganjur telah mengusahakan agar program dapat diteruskan pada sebelah malam bertempat di sebuah dewan perkahwinan. Agak melucukan, bilamana saya membentangkan kertas kerja dalam suasana seperti majlis keramaian atau mirip ‘annual dinner’. Namun, itulah yang termampu diusahakan oleh pihak penganjur pada saat akhir. Seorang teman dari Mesir memberitahu semasa beliau dijemput ke UK, suasananya amat berbeza. Mereka bebas melaksanakan program-program seperti ini tanpa apa-apa halangan. Lagi pun, apalah yang hendak ditakutkan oleh mereka? Adakah dengan jualan key chain dan t-shirt boleh mencetuskan suasana huru-hara?

Apa pun, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur Majlis Perwakilan Penuntut Malaysia di Jordan, pihak Kedutaan Besar Malaysia, pihak pentadbiran Universiti Yarmouk, sahabat-sahabat jemputan dari Mesir, Syria, Arab Saudi dan semua para peserta dari kalangan para pelajar muslimin dan muslimat dari Amman, Mu’tah, Mafraq dan Irbid atas semua kerjasama dan layanan yang dihulurkan kepada kami semasa berada di bumi Jordan ini. Ingatlah! Kita adalah umat yang dimuliakan dengan Islam. Apabila kita lupa siapa diri kita yang sebenar.. samalah seperti singa yang berperangai seperti kambing. Disuruh kita mengembek apabila kita sepatutnya mengaum..


pandangan ciksantun (turut menjadi ajk pelaksana Persidangan Tahunan Mahasiswa Jordan) : Secara umumnya negara arab, dan khususnya Jordan mungkin mereka begitu sensitif terhadap isu IM (ikhwanul muslimin). Tidak tahu mengapa, padahal islam itu diutus dan alquran itu diturunkn dalam bahasa arab dan di tanah arab. Sepatutnya, mereka lebih memahami dan membantu umat islam khususnye di zaman ketiadaan khilafah ini. Dimanakah silapnya?? Adakah pemikiran org arab telah didoktorinkan oleh Israel dan konco-konconya?? Adakah kejadian 11 sept telah menutup mulut mereka dari berkata benar dan menegakkan keadilan kerana takut digelar pengganas?? Isu ummah terlalu banyak. Kita tidak punyai masa untuk berlengah. Kepada mahasiswa-mahasiswa Jordan, jangan jadikan ini sebagai alasan untuk kita berdiam diri dari membincangkan isu Ummah.

3 comments:

kazi said...

Jazakumullahu khaeral jaza' buat ust..

Semoga segala penat lelah dan usaha ust utk menyampaikan pengisian kpd kami di jordan ini diberkati Allah..

saya bagi pihak ajk program memohon maaf dari hujung rmbut hingga hujung kaki andai masa yang diberi kpd ust tidak bebaloi utk dibandingkan dgn segala penat lelah tersebut..Semoga Allah sahaja yang dapat membalasnya.kami sedaya upaya telah menguasahakan yg sebaiknya..

ويمكرون ويمكروا الله والله خير الماكرين

Kami akan sentiasa mengingati cerita singa ust itu dan mengambil 'ibrah di sebaliknya..i/allah..

cik santun.. said...

ye betul.. cerita kambing dan singa..

ade seekor anak singa dengan bapak singa yg gagah.. bapak singa mempunyai musuh, dan musuh itu adalah serigala..

suatu hari, bapak singa tunjukkan tanah kepada anak singa dan mengatakan "wahai anakku, ini lah kawasan jajahan kita" tnpa disedari serigala-serigala sedang memasang perangkap dengan begitu rapi kepada bapak singa.. dan bapak singa mati..

dengan taqdir Allah, anak singa terus hidup, dan telah diambil oleh kambing, hidup dengan kambing.. apabila singa tu nk makan daging, mak kambing tak kasi.. singa nak keluarkan kuku, mak kambing tak kasi..

sehinggalah satu hari, sekumpulan kmbing ini diserang oleh serigala.. kambing-kambing pun semua berlari dan semua dimakan oleh serigala.. anak singa itu menyorok dan menyaksikan kejadian itu..

anak singa tu pun pergi ke suatu kawasan dan terjumpe dengan singa yang gagah.. singa gagah tu cakap "ko ni, singa, tp aku tgk ko ni pengecut macam kambing. ko ni singa ke kambing?? rupe ko same ngn rupe aku, tp nape ko ni cm kambing?"..
singa yg pengecut ni kate, "tidak, aku kambing"..

singa yang gagah ni pun bwk singa pengecut ni pegi ke sungai, dan tgk bayang2 mereka sama.. ketika itulah singa pengecut ini menyedari bahawa dia adalah singa, dan begitu gagah, dan sebenarnya mampu mengalahkan serigala..

jadi, terpulang pada kita, hendak memilih singa yang macam kambing, atau singa yg ada kuku(menyedari kekuatan)??

MR. SATU UMAT said...

Sampai begitu situasi di Jordan ye. Tahniah kepada semua yang berusaha mengembangkan dakwah walaupun terpaksa melalui pelbagai dugaan.