IPOH, 12 Feb (Bernama) -- Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini berkata beliau akan menyerahkan kediaman dan kenderaan rasmi yang digunakan sejak awal tahun ini, dalam masa terdekat.
Katanya beliau telah diminta secara baik oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk mengosongkan kediaman rasmi menteri besar itu melalui satu panggilan telefon hari ini.
Dr Abdul Rahman ketika dihubungi Bernama berkata Mohammad Nizar telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau dan keluarganya akan mengosongkan rumah itu dalam masa terdekat.
Katanya notis berkenaan dijangka akan dihantar kepada Mohammad Nizar esok.
Dr Abdul Rahman meminta Mohammad Nizar dan barisan exco sebelum ini supaya menyerahkan kenderaan rasmi masing-masing berserta kuncinya dengan segera di bangunan pentadbiran kerajaan negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
"Notis meminta mereka menyerahkan kenderaan itu dikeluarkan Khamis lepas dan diserahkan seberapa segera. Kalau dua, tiga hari lewat tidak mengapa tapi ini sudah hampir seminggu. Lagipun kenderaan itu bukan perlu dibungkus tetapi hanya perlu dihidupkan dan dipandu ke bangunan pentadbiran," katanya.
Bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada dua bekas Exco iaitu Zainuddin Mohd Yusof dan Tai Sing Ng yang telah memulangkan kenderaan rasmi yang digunakan sebelum ini kepada kerajaan negeri.
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata beliau akan menyerahkan kediaman itu dalam sama terdekat iaitu dalam tempoh sepuluh hari dari sekarang.
"Secara rasmi saya akan keluar dengan cara terhormat dari residensi ini. Selepas ini saya akan tinggal di sini (Ipoh) di kawasan berhampiran tempat anak saya bersekolah. Kita akur kerana ia adalah peraturan," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi itu di sini.
Mohammad Nizar juga berkata kesemua 11 kenderaan rasmi jenis Toyota Camry yang digunakan barisan Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum ini akan diserahkan dengan menempatkan kenderaan itu di dalam kawasan kediaman rasmi menteri besar.
Bagaimanapun, beliau berkata tindakan untuk menyerahkan kenderaan dan kediaman rasmi itu tidak akan menjejaskan apa-apa ketetapan dan keputusan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat sebelum ini termasuk menfailkan kes terhadap menteri besar yang baru Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan barisan Exconya.
Selain itu Mohammad Nizar turut memaklumkan bahawa panel penasihat Pakatan Rakyat akan meneruskan tindakan menfailkan kes terhadap Zambry dan barisan Exconya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11.30 pagi, esok.
"Kita akan menfailkan kes untuk memohon supaya satu pengisytiharan dari Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pelantikan kerajaan negeri yang baru iaitu oleh Barisan Nasional dan mengisytiharkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat adalah sah.
"Kita akan melaksanakan mengikut prosedur tertentu. Jadi pihak peguam kami sedang melaksanakan tugasan itu termasuk menyediakan dokumen yang diperlukan mengenai kes itu. Saya minta penyokong menganggap ini sebagai saluran biasa kita, saya minta penyokong (yang dijangka akan berkumpul di Pendaftar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) jangan bertindak di luar batasan esok dan tolong menjaga ketenteraman dan keamanan," katanya.
Ketika ditanya sebab kes itu akan difailkan di Kuala Lumpur bukan di sini, beliau berkata panel penasihat memutuskan ia difailkan di Kuala Lumpur selepas menimbang beberapa faktor.
sumber
0 comments:
Post a Comment