IPOH: Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan Pas menimbang untuk meletakkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai calon pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang.
Sambil menyatakan beliau membuat cadangan itu atas kapasiti peribadinya, Ngeh berkata adalah elok jika Nizar dipilih sebagai calon kerana rakyat boleh menyatakan pandangan mereka mengenai perubahan kerajaan negeri itu.
"Ini hanya pandangan peribadi saya. Terpulang kepada Pas untuk membuat keputusan. Walau siapa pun calonnya, kami akan memberikan sokongan penuh kami," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nizar diarah meletak jawatan sebagai Menteri Besar minggu lalu oleh Sultan Azlan Shah berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada pakatan itu meninggalkan parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Nizar enggan meletak jawatan dan bertegas beliau masih Menteri Besar yang sah dan terus mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di sini.
Kerusi Bukit Gantang kosong berikutan kematian Ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada Pas hari ini akibat sakit jantung. - Bernama
sumber
0 comments:
Post a Comment