Saturday, February 21, 2009

Nizar Pindah Ahad 22 Februari

IPOH 21 Feb. — Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan berpindah dari kediaman rasmi Menteri Besar di sini esok tetapi kunci kediaman berkenaan akan hanya diserahkan pada 27 Feb depan.

Pegawai Khas beliau Amran Harun berkata penyerahan kunci berkenaan akan dibuat seperti yang diarahkan melalui surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai program keilmuan seperti sembahyang hajat, tahlil dan aktiviti keagaaman akan diadakan.

“Kita akan menggunakan sepenuh masa yang ada ini sebelum menyerahkan kunci kediaman seperti dalam surat yang dihantar minggu lalu,” katanya.

Amran berkata berkata Mohammad Nizar akan berpindah ke rumah baru yang disewa di bandar raya ini.

“Biarlah lokasinya dirahsiakan, untuk keselamatan dan menghormati keluarga beliau,” katanya.

Beliau berkata operasi memindahkan perkakas rumah milik bekas Menteri Besar telah dijalankan sebelum ini, termasuk memindahkan cenderamata dan hadiah yang diterima oleh Mohammad Nizar. Amran berkata satu majlis khas akan diadakan 10 pagi esok bagi meraikan warga media yang telah bertungkus lumus menjalankan tugas sejak 4 Feb lepas membuat liputan peralihan kuasa kerajaan negeri Perak.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga media yang bekerja siang dan malam melaporkan setiap kejadian dan pengumuman yang dibuat,” katanya. — Bernama

sumber

0 comments: