Friday, February 27, 2009

PALESTIN- Hamas & Fatah Sedia Berdamai

KAHERAH 26 Feb. - Puak-puak Palestin yang bertelagah, Fatah dan Hamas malam tadi bersetuju untuk membebaskan tahanan daripada kedua-dua pihak dan menghentikan perang media antara mereka menjelang rundingan perdamaian anjuran Mesir yang bermula hari ini.

Persetujuan itu dicapai semasa kedua-dua puak itu mengadakan rundingan dengan tujuan untuk membuka jalan bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Fatah dan Hamas bersetuju untuk menyelesaikan isu tahanan itu dalam tempoh sebelum berakhirnya dialog antara puak Palestin, kata mereka.

"Sebilangan tahanan akan dibebaskan pada permulaan dialog.

"Tahanan lain akan dibebaskan secara berperingkat-peringkat supaya isu ini akan diselesaikan sepenuhnya sebelum berakhirnya dialog kebangsaan Palestin," menurut kenyataan daripada pemimpin blok Fatah di Parlimen Palestin, Azzam al-Ahmad dan pegawai kanan Hamas, Mahmud Zahar.

Zahar berkata, 80 anggota Hamas yang ditahan di Tebing Barat di bawah pentadbiran Fatah telah dibebaskan manakala 300 lagi masih ditahan.

Di pihaknya, Hamas telah menarik balik perintah tahanan di rumah ke atas sebilangan anggota Fatah di Genting Gaza.

Kedua-dua puak sudah lama berseteru tetapi perseteruan mereka memuncak pada Jun 2007 apabila Hamas merampas kuasa di Gaza dengan menumpaskan pasukan bersenjata yang setia kepada Presiden Mahmoud Abbas berikutan pertempuran maut selama berhari-hari.

Proses perdamaian itu dilancarkan semula oleh Mesir selepas berakhirnya serangan Israel selama 23 hari ke atas Hamas bulan lepas.

Rundingan hari ini sangat penting kerana dana berbilion-bilion dolar untuk membangunkan semula Genting Gaza boleh disalurkan jika syarat-syarat yang ditetapkan oleh penderma antarabangsa dipenuhi sebelum persidangan penderma di Mesir minggu depan. - AFP

sumber

0 comments: