IPOH 21 Feb. - Polis akan memanggil Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar hanya selepas saksi-saksi lain dirakamkan percakapan mereka.
Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, sehingga kini, pihaknya masih lagi mengumpul maklumat berhubung tindakan wakil rakyat DAP kawasan Tronoh itu yang menggantung dan melarang Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan DUN.
"Polis akan memanggil Sivakumar setelah semua saksi dipanggil," kata Zulkifli ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai 10 aduan polis yang telah dibuat terhadap Speaker DUN Perak itu setakat ini.
Sivakumar sebelum ini mengambil tindakan mengejutkan dan dianggap tidak mengikut peraturan apabila menggantung dan melarang Zambry dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan DUN berkuat kuasa serta-merta.
Beliau yang mengetuai Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN menegaskan, pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak dan enam Exco negeri itu dalam kerajaan negeri yang baru tidak sah kerana ia dibuat tidak mengikut peraturan.
utusanperak@utusan.com.my
![]() |
| ZAMBRY Abdul Kadir (tengah) bersalaman dengan guru-guru dan pengetua sekolah pada majlis perasmian Program Membina Negara Bangsa di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, semalam. - mingguan/HANAFI KHAMIS |
IPOH 21 Feb. - Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, terpulang kepada Sultan Perak untuk menentukan masa yang sesuai bagi memanggil persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, berdasarkan Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Sultan mempunyai tempoh enam bulan untuk mengadakan sidang DUN itu selepas kali terakhir diadakan November lalu.
"Keputusan untuk memanggil persidangan Dewan akan diputuskan oleh Sultan Perak.
"Kita ada tempoh enam bulan, terpulang kepada Tuanku Sultan Perak untuk menentukan masa yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Membina Negara Bangsa peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang pelantikan Speaker DUN yang baru selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pemerintahan negeri.
Katanya, keputusan melantik Speaker hanya boleh dilakukan setelah DUN dipanggil bersidang.
Kali terakhir sidang DUN Perak diadakan ialah November lalu dan tempoh enam bulan diperuntukkan dalam perundangan tersebut akan tamat April ini.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung perkara itu berikutan kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan.

0 comments:
Post a Comment