KAHERAH 22 Feb. - Presiden Sudan, Omar al-Beshir berada Mesir hari ini bagi mengadakan rundingan mengenai usaha untuk menamatkan konflik selama enam tahun di Darfur, berikutan perjanjian antara kerajaan beliau dengan kumpulan pemberontak paling kuat di wilayah Sudan itu.
Beshir dijadual menemui Presiden Hosni Mubarak semasa lawatan sehari itu, yang dilakukan ketika Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dipercayai semakin hampir untuk memutuskan sama ada hendak mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Sudan tersebut atau tidak.
Ketua Pendakwa ICC pada Julai lalu meminta panel hakim mahkamah itu mengeluarkan waran tangkap terhadap Beshir kerana didakwa melakukan pembunuhan kaum, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Darfur.
Akhbar New York Times awal bulan ini melaporkan ICC telah mengambil keputusan untuk mengeluarkan waran tangkap tetapi jurucakap mahkamah di The Hague itu menegaskan, "buat masa ini, belum ada waran tangkap."
Pada minggu lepas, kerajaan Khartoum dan kumpulan pemberontak paling aktif di Darfur, Gerakan Keadilan dan Kesamaan (JEM) menandatangani perjanjian di Doha bagi meletakkan batu asas untuk melancarkan rundingan damai lebih luas.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membina keyakinan kedua-dua pihak, Sudan semalam membebaskan 24 pemberontak Darfur yang ditahan. - AFP
0 comments:
Post a Comment