Oleh: Imran al-Malizi
Enam tahun dahulu saya pernah singgah (transit) ke Yaman ini sambil meninjau peluang untuk melanjutkan pengajian. Ketika itu, saya menginap di sebuah hotel bernama Sam City Hotel. Dalam bahasa Arab, nama hotel ini ditulis “Funduq Madinah Sam”. Saya sendiri tidak mengambil peduli tentang nama tersebut sehinggalah beberapa tahun kemudian. Setelah belajar di sini, saya membaca buku-buku tentang sejarah Yaman. Barulah saya ketahui bahawa kota Sana’a juga dikenali dengan nama Madinah Sam iaitu bersempena nama Sam bin Nuh. Menurut ahli sejarah, Sam ialah salah seorang anak kepada Nabi Nuh a.s. dan beliau adalah pengasas kepada penempatan manusia di Sana’a dan Yaman ini setelah berlaku peristiwa banjir besar yang meliputi seluruh muka bumi ini. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa keturunan Sam bin Nuh ini bertebaran ke seluruh dunia. Namun ini sekadar cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut tanpa dibuktikan dengan fakta-fakta yang kukuh.
Namun, baru-baru ini saya membaca satu tulisan yang sangat menarik dalam akhbar Yemen Times (5 Mac 2009) bertajuk “Scientific research suggests Yemen origin of mankind”. Saya dapati persoalan asal-usul manusia ini cuba dibuktikan dengan lebih serius oleh para saintis di Yaman.
Teori sains yang mahsyur sebelum ini mengatakan bahawa asal-usul manusia dipercayai bermula di Benua Afrika. Kajian saintifik terbaru menunjukkan kemungkinan Yaman adalah asal-usul penempatan penduduk bumi. Bagi membuktikan teori tersebut, baru-baru ini sekumpulan saintis Yaman di Universiti Sana’a dengan kerjasama para saintis dari Universiti Florida, Amerika Syarikat telah berusaha mengumpulkan sampel darah dan air liur daripada populasi penduduk seluruh Yaman selama tujuh tahun. Usaha ini bermula pada awal tahun 2000. Sampel ini digunakan untuk menjejak asal-usul manusia zaman moden.
Kajian yang dilakukan di Yaman ini adalah sebahagian daripada usaha penyelidikan yang menyeluruh dilakukan di seluruh dunia semata-mata untuk mencari jawapan kepada persoalan yang sering berlegar-legar dalam dunia saintifik, iaitu dari mana asal-usul manusia?
Sebelum ini, para saintis berpendapat bahawa asal penempatan manusia bermula di timur laut Afrika. Namun pandangan umum dunia sains telah bertukar setelah penemuan terbaru berkenaan pemetaan genetik manusia pada tahun 2001. Banyak manfaat lain yang didapati dari penemuan tersebut dan menjejak sejarah DNA susur galur manusia adalah salah satu daripadanya.
Dua orang saintis yang terkenal iaitu Dr. Connie Mulligan, pakar antropologis dari Universiti Florida dan Dr. Ali Al-Meeri, seorang profesor biokimia dari Universiti Sana’a turut serta dalam penyelidikan ini. Dr. Al-Meeri menjelaskan, “Idea utama yang ingin dikemukakan ialah nenek moyang manusia berimigrasi dari selatan Laut Merah atau mereka menuju ke arah utara Laut Merah. Namun, teori ini kehilangan kredibilitinya dan digantikan dengan teori terbaru yang mencadangkan bahawa manusia berimigrasi ke beberapa tempat di seluruh dunia melalui Bab al-Mandab.” Bab al-Mandab adalah perairan selat yang terletak merentasi Laut Merah di antara Djibouti dan Yaman.
Para saintis Yaman meneruskan usaha menyelidik data-data yang dikumpulkan dari seluruh dunia dengan kerjasama para saintis dari Universiti Florida dan Universiti Cambridge. Berdasarkan hasil kajian tersebut, Dr. Al-Meeri berpendapat kemungkinan manusia moden pertama berasal dari Yaman. Beliau membuat kesimpulan demikian setelah membandingkan sampel genetik yang dikumpulkan di Afrika dengan sampel-sampel dari seluruh dunia dan setelah dilakukan ujian terhadap 550 sampel yang dikumpulkan dari seluruh Yaman.
Usaha ini telah dapat menarik perhatian banyak pihak. National Science Foundation turut membekalkan kelengkapan makmal untuk eksperimen genetik dan penyelidikan. Dr. Al-Meeri mengharapkan kerajaan Yaman turut sama membantu membangunkan teknologi kejuruteraan genetik dengan mewujudkan lebih ramai orang-orang yang berkelayakan.
Perkara yang paling mencuit hati saya, apabila membaca komen Dr. Al-Meeri, “Sekiranya usaha penyelidikan ini terbukti, dengan eksperimen yang lebih luas pada masa akan datang, tentu ini bakal memberi kesan yang besar pada bidang pelancongan kami.. kerana manusia dari seluruh dunia tentu mahu melawat tempat asal mereka.”
Begitulah manusia, apa-apa usaha yang dibuat atas nama sains, sejarah dan kajian ilmiah tidak dapat lepas daripada kepentingan yang bersifat material. Apakah manfaat pada keimanan manusia sekiranya mereka dapat mengetahui asal-usul mereka dari baka genetik Afrika atau Yaman? Atau mana-mana sahaja usul di atas muka bumi ini. Bagi kita, memadailah dengan beriman bahawa umat manusia ini berasal dari Adam a.s. berdasarkan firman Allah S.W.T: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam a.s.) dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah sentiasa Menjaga dan Mengawasi kamu.” (Surah al-Nisa: 1)
Dengan hikmah yang hanya diketahui Allah Ta’ala, Nabi Adam a.s diturunkan ke dunia ini dan berkembanglah keturunannya di atas muka bumi. Firman Allah S.W.T: “.. dan kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan. Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, Maka Allah menerima taubatnya.
Sesungguhnya Allah Maha Menerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Baqarah: 36-37)
Begitulah kehidupan dan kesenangan di dunia ini hanya sementara bagi umat manusia hinggalah sampai waktu yang ditentukan Allah dengan datangnya Hari Kiamat. Firman Allah Ta’ala lagi: “Kami berfirman: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu. Maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, niscaya tidak ada kekuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati". Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (Surah al-Baqarah: 38-39)
Kesemuanya itu hanyalah untuk Allah menguji di kalangan umat manusia, siapakah yang mengikut petunjuk yang diturunkan kepada para rasul yang diutuskan dan siapakah yang mendustakan ayat-ayat Allah? Inilah yang lebih penting untuk kita sama-sama fikirkan dan lebih besar tuntutannya. Adakah kita sudah melaksanakan perintah-perintah Allah di atas muka bumi ini? Sesungguhnya tuntutan ini tidak akan berubah. Adakah teori asal-usul manusia ini akan bertukar lagi jika timbul pula teori-teori terbaru?
0 comments:
Post a Comment