COLOMBO 10 Mac - Seramai 15 orang terbunuh sementara 60 yang lain termasuk dua menteri kerajaan cedera apabila seorang pengebom berani mati Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) meletupkan diri dalam satu acara sambutan Maulidur Rasul di sebuah masjid di sini.
Serangan yang disasarkan ke atas ahli politik yang menghadiri majlis di masjid bandar Akuressa itu berlaku ketika LTTE dilihat hampir kalah di tangan tentera kerajaan selepas berbulan-bulan bertempur hebat.
Kira-kira 20 orang termasuk Menteri Perkhidmatan Pos, Mahinda Wijesekera dan Menteri Kebudayaan, Mahinda Yapa Abeywardena cedera dalam serangan tersebut. Wijesekera dilaporkan tenat dan sedang bertarung nyawa di sebuah hospital tempatan.
"Ia adalah serangan berani mati yang dilancarkan oleh LTTE," kata jurucakap tentera, Udaya Nanayakkara.
Dua tahun lalu, LTTE menguasai kawasan utara dan timur Sri Lanka, namun kini berdepan dengan kekalahan dan terkepung dalam kawasan hutan.
Menurut Kementerian Pertahanan, sekurang-kurangnya 250 pemberontak terbunuh hujung minggu lalu ketika mempertahankan kawasan tersebut.
Kerajaan menganggarkan seramai 70,000 orang awam terperangkap dalam zon perang bersama ratusan anggota LTTE, namun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan seramai 200,000 orang awam masih berada di sana. - AFP
0 comments:
Post a Comment