NEW DELHI 23 Mac - Pihak berkuasa pilihan raya India menegur cucu bekas Perdana Menteri Indira Gandhi, berikutan tindakannya mengeluarkan kenyataan yang menghina orang Islam semasa berkempen.
Varun Ghandi (gambar) mula terlibat dengan kekacauan politik setelah satu video rakaman ucapannya kepada penyokong Parti Bharatiya Janata (BJP) yang mengutuk orang Islam disiarkan.
Suruhanjaya Pilihan Raya semalam berkata, pihaknya mengutuk dan mengecam Varun dan menggesa BJP supaya menggugurkannya sebagai calon pilihan raya yang dijadual diadakan pada 16 April ini.
Umat Islam merupakan golongan minoriti terbesar di India. Hubungan mereka dengan penganut Hindu sering bermasalah hingga bertukar ganas sejak India mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1947.
Varun merupakan cucu Indira daripada anak keduanya, Sanjay. Ibu saudaranya, Sonia Gandhi yang juga balu kepada anak sulung Indira, Ranjiv merupakan pemimpin parti pemerintah Parti Kongres.
Rakaman yang disiarkan oleh saluran berita NDTV pada minggu lalu, menunjukkan Varun berkata, 'penganut Islam mempunyai nama yang menggerunkan dan jika anda bertemu mereka pada waktu malam, anda akan turut berasa ngeri'.
Pemerhati pilihan raya menafikan dakwaan Varun dengan mengatakan rakaman itu telah diubah.
Mahkamah pada Jumaat lalu membenarkan jaminan kepada Varun berikutan kes ucapannya yang bersifat anti Islam. - AFP
0 comments:
Post a Comment