Tuesday, March 24, 2009

Nizar Calon PAS Bukit Gantang

TAIPING 23 Mac - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, 52, dipilih sebagai calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini. Pengumuman tersebut dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis mengumumkan calon di padang Taman Kota Jaya, Simpang di sini malam ini.

Mohammad Nizar dalam ucapannya berkata, beliau akan melaksanakan segala usaha dan tugas baik yang dilaksanakan oleh Allahyarham Roslan Shaharum bagi membela nasib rakyat di kawasan ini.

''Saya merakamkan setinggi penghargaan kepada Presiden (Abdul Hadi) dan seluruh pimpinan pakatan pembangkang yang telah mencalonkan saya bertanding di Bukit Gantang.

''Terima kasih atas kepercayaan yang diberi dan saya mengambil kesempatan memohon simpati pengundi dari Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering untuk mengundi saya," kata Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak itu.

Mohammad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Pasir Panjang turut menyeru kepada pengundi agar menjadikan pilihan raya kecil itu sebagai kesempatan untuk membuktikan bahawa seluruh rakyat terus menyokong pakatan pembangkang.

Katanya, niat berkenaan harus diterjemahkan melalui undi kepada Pas sebagai lambang bahawa itulah kehendak sebenar rakyat di Perak.

Dalam pada itu, Abdul Hadi pula berkata, pengundi di Bukit Gantang bukan sahaja diamanahkan untuk memilih pemimpin tetapi juga untuk menyampaikan mesej kepada Barisan Nasional (BN) bahawa mereka tetap bersama pakatan pembangkang.

Katanya, jika pada pilihan raya umum lalu pengundi telah memilih calon Pas maka sokongan berkenaan perlu diteruskan supaya pakatan pembangkang dapat memikul amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.

''Masyarakat majmuk terdiri daripada bangsa Melayu, India dan Cina telah menerima konsep pemerintahan raja berpelembagaan, Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

''Kita harap perkara ini tidak dijadikan isu untuk menghentam pakatan pembangkang pada pilihan raya kali ini dan seterusnya berharap Pas dapat mencapai kemenangan lebih besar," katanya.

sumber

2 comments:

MR. SATU UMAT said...

PUTRAJAYA 23 Mac – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, tindakan itu diambil kerana dua akhbar pembangkang itu didapati menyiarkan artikel-artikel berbaur fitnah, mengelirukan serta boleh mengancam ketenteraman dan memecahbelahkan masyarakat.

Difahamkan, surat penggantungan Harakah dialamatkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaffar manakala surat untuk Suara Keadilan ditujukan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail.

“KDN mendapati Harakah dan Suara Keadilan banyak mengeluarkan artikel-artikel menyentuh perkara-perkara yang memutarbelitkan fakta, menghasut, mengandungi tuduhan liar dan tidak berasas,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia petang ini.
UM

cerita2akusuka said...

demokrasi malaysia trcabul..