Thursday, March 5, 2009

PALESTIN- Iran Gesa Tentang Israel

TEHERAN 4 Mac - Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei hari ini menegaskan bahawa "penentangan" adalah satu-satunya jalan menyelamatkan Palestin.

Beliau membuat ulasan "panas" itu ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton dijadual bertemu dengan pemimpin Palestin hari ini dalam lawatan sulungnya ke rantau ini sejak memegang jawatan tersebut.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan sidang kemuncak dua hari anjuran Teheran bagi membantu Gaza dan penduduk Palestin.

"Satu-satunya cara menyelamatkan Palestin adalah melalui penentangan. Sokongan dan bantuan kepada penduduk Palestin adalah tugas mandatori setiap orang Islam.

''Saya kini menyeru semua umat Islam tidak kira lelaki atau wanita agar bersatu dan memusnahkan kekebalan penjenayah Zionis.

"Pemimpin politik dan tentera negara Yahudi itu yang melakukan bencana di Gaza perlu dibicarakan. Ini adalah langkah pertama yang perlu diambil," tegas Ali Khamenei.

Iran tidak mengiktiraf Israel dan Ali Khamenei sendiri berulang kali menolak penyelesaian konflik Palestin-Israel melalui pembentukan dua negara.

Menurut beliau, rundingan bagi menyelesaikan isu berkenaan tidak membuahkan hasil, malah AS dan Britain telah melakukan jenayah kerana "mewujudkan dan menyokong tumor kanser (Israel)." - AFP

sumber

0 comments: