Oleh: Imran al-Malizi
Orang-orang Arab kebanyakkannya tidak dapat membezakan di antara warga Malaysia dan Indonesia dari segi rupa paras. Itu tidaklah menghairankan kerana kedua-duanya berasal dari satu etnik iaitu bangsa Melayu.
Bagi warga Malaysia yang pernah menetap di mana-mana negara Arab, pasti pernah menghadapi situasi di mana penduduk tempatan bertanyakan satu soalan lucu, “Awak ni orang Cina ke?”
Pertanyaan seperti ini terbit daripada kekeliruan orang-orang Arab yang tidak berpendidikan dan kurang berpengetahuan tentang ilmu geografi. Mereka menyangka semua orang Asia adalah berasal dari negara China. Malah ada sahabat saya yang berbangsa India juga pernah disangka sebagai berketurunan Cina.
Apabila berkembangnya sektor ekonomi dan hubungan perdagangan, lama kelamaan orang-orang Arab mula mengenal bangsa-bangsa lain seperti Korea, Jepun, Filipina dan lain-lain. Namun, mereka masih menganggap kesemua bangsa dari Asia adalah sama sahaja.
Baru-baru ini semua warga asing terutamanya pemegang passport negara-negara Asia tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam darat seperti bas ekpress dan seumpamanya untuk bergerak ke mana-mana wilayah di dalam negara Yaman.
Ini bukanlah kali pertama syarikat pengangkutan enggan menjual tiket bas kepada mana-mana warga Asia. Sebelum ini, langkah keselamatan pernah diambil oleh pihak berkuasa ketika meningkatnya siri penculikan dan serangan terhadap warga asing terutamanya para pelancong dari Eropah dan negara-negara barat.
Kali ini tindakan tersebut diambil berikutan berlakunya serangan dan siri letupan di kawasan pergunungan Shibam, Hadramaut yang menyaksikan 4 orang warganegara Korea Selatan menjadi sasaran. Dua hari kemudian, kenderaan yang membawa delegasi Korea Selatan untuk menyiasat kejadian tersebut turut diserang. Namun serangan kali kedua ini dilaporkan telah gagal.
Al-Qaeda didakwa bertanggungjawab ke atas serangan ini. Tuduhan ini dibuat setelah dua bulan berlakunya penggabungan organisasi pertubuhan tersebut dari Arab Saudi dan Yaman di bawah pimpinan Nasser al-Wihaishi. Namun tiada sebarang bukti kukuh yang boleh dikemukakan.
Serangan ini dikaitkan dengan penglibatan Korea Selatan dalam kempen Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah memerangi keganasan sebelum ini. Namun, agak menghairankan kerana Korea Selatan telah mengumumkan pada bulan September 2008 bahawa mereka sudah mengundurkan kekuatan tentera dari Iraq semenjak tahun 2004 lagi.
Seorang pengkaji, Moneer al-Mawri, berpendapat serangan terhadap warga Korea Selatan ini mempunyai dua sebab utama. Pertama, pertubuhan al-Qaeda mahu menghantar mesej kepada pentadbiran Korea Selatan agar tidak mengambil bahagian dalam sebarang misi ketenteraan di Afghanistan dalam perkembangan terkini. Kedua, Al-Qaeda bertindak demikian akibat meningkatkan penglibatan aktivis-aktivis Korea Selatan dalam pendakyahan agama Kristian di negara-negara umat Islam.
Bagaimanapun, seorang pakar lain, Abdul Elah Haidar Shaya mengatakan bahawa setakat ini Al-Qaeda tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kedua-dua serangan ini. Beliau berpendapat, terdapat kumpulan-kumpulan lain yang melakukan operasi serangan tersebut.
Berikutan itu, lebih 1000 warga Korea Selatan berdemonstrasi di ibu negara Seoul bagi membantah serangan tersebut manakala kementerian luarnya pula menggesa rakyat Korea Selatan supaya meninggalkan negara Yaman.
Pihak berkuasa Yaman menawarkan sejumlah wang bagi sesiapa sahaja yang dapat memberikan maklumat tentang individu-individu yang terlibat dalam serangan itu atau mempunyai hubungan dengan Al-Qaeda dalam melakukan sabotaj terhadap keselamatan dalam negara.
Kementerian dalam negeri juga telah mengumumkan 12 orang yang dikehendaki kerana disyaki terlibat. Mereka dikatakan masih berumur dalam lingkungan 20-an.
Perkara yang menjadi persoalan berhubung serangan terbaru ini ialah bagaimana pihak yang melakukan serangan memperolehi maklumat mengenai pergerakan delegasi Korea Selatan dari segi lokasi dan waktu kenderaan tersebut bertolak dari lapangan terbang Sana’a? Ini seolah-olah menunjukkan maklumat tersebut bocor dari dalam pentadbiran keselamatan sendiri.
Para pengkaji berpendapat pergerakan bersenjata akan terus melancarkan serangan demi serangan sehinggalah pemerintah yang ada pada hari ini dapat dijatuhkan.
Tiada siapa pun yang dapat memastikan sejauh mana kebenaran dakwaan ini. Yang pastinya, isu keganasan ini adalah satu potensi untuk dipergunakan oleh pihak pemerintah untuk terus mendapatkan sokongan kuasa-kuasa luar dalam memerangi keganasan dalam negara ini. Ia juga menjadi alasan untuk mereka terus mempertahankan kuasa pemerintahan.
0 comments:
Post a Comment