Sri Wahyuni, seorang calon di wilayah Jawa Barat menggantung dirinya dari atas bumbung pondok miliknya di pinggir bandar selepas keputusan awal menunjukkan dia tidak menghampiri undian yang diperlukan untuk menang, kata agensi berita rasmi Antara memetik suaminya sebagai memberitahu polis.
Dua lagi calon wanita di bandar Buleleng dan Solo maut akibat serangan jantung selepas mendapat tahu tidak mempunyai peluang untuk menang, kata polis.
Beribu-ribu calon di negara 235 juta penduduk itu melaburkan wang simpanan seumur hidup dan dalam sesetengah kes, rumah mereka, untuk berkempen dalam pilihan raya ketiga sejak pemerintah diktator Suharto disingkir daripada kuasa sedekad lalu.
Kerusi dalam perundangan nasional, wilayah dan tempatan menjadi rebutan. Jawatan itu mendapat bayaran memuaskan mengikut standard Indonesia dengan gaji bulanan AS$1,200 (RM4,308) berbanding gaji bulanan purata kurang AS$200 (RM718) dan dilihat sebagai peluang untuk meraih kuasa dan pengaruh.
Pilihan raya parlimen minggu lalu yang menjadi pentas undian presiden 8 Julai ini membenarkan warga negara ini buat kali pertama mengundi calon serta parti politik.
Calon bertanding menjual rumah, tanah atau meminjam wang daripada along. Hospital mental menambah kakitangan untuk menyediakan kaunseling kepada calon yang tertekan. - AP
0 comments:
Post a Comment