Wednesday, June 10, 2009

Ketua Tentera Thai Pantau Situasi Gawat di Selatan


SEORANG jemaah yang cedera dibawa turun dari ambulans untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital di selatan Thailand, kelmarin. – AFP


NARATHIWAT 9 Jun - Ketua tentera Thailand, Jeneral Anupong Paojinda diarah melawat selatan negara ini hari ini, selepas berlaku insiden sekumpulan lelaki menembak mati 11 jemaah di sebuah masjid di wilayah Narathiwat, malam tadi.

Kerajaan mengarahkan Anupong terbang ke wilayah bergolak itu dalam usaha membawa penyerang-penyerang terbabit ke muka pengadilan, kata Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuban yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara.

"Saya telah mengarahkan Anupong supaya pergi ke selatan Thai untuk memantau situasi dan menangkap penyerang-penyerang terbabit.

"Saya tidak akan berkata-kata apa sehingga saya menerima laporan rasmi kerana isu ini sangat sensitif," kata Suthep.

Lima atau enam lelaki bersenjata automatik memasuki sebuah masjid di daerah Cho-ai-rong, Narathiwat, semasa solat Isyak dan melepaskan tembakan ke arah jemaah, menyebabkan 11 orang termasuk imam terbunuh dan 19 lagi cedera,.

Serangan itu berlaku ketika keganasan memuncak semula baru-baru ini dan hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri Thai Abhisit Vejjajiva dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi menyelesaikan pergolakan di selatan negara ini.

Suthep enggan menyatakan motif atau dalang di sebalik serangan itu, walaupun kerajaan sering menuduh puak pemisah Islam sebagai punca kebanyakan keganasan di selatan negara ini.

Penduduk kampung bagaimanapun berkata, serangan malam tadi adalah angkara pasukan keselamatan Thai kerana puak pemisah tidak mungkin menyerang masjid.

Jeneral Anupong, bagaimanapun menafikan pasukan keselamatan Thailand terbabit dalam serangan itu

Tentera mengesahkan Anupong akan melawat Narathiwat tetapi enggan membincangkan jadual lawatannya atau sama ada beliau akan mengunjungi daerah Cho-ai-rong.

Jurucakap tentera, Kolonel Parinya Chaidilok berkata, hospital tempatan kini kekurangan bekalan darah disebabkan beberapa kejadian pertumpahan darah sejak beberapa hari lalu dan askar yang menaiki trak tentera menggunakan pembesar suara menggesa penduduk menderma darah.

"Kami menyeru semua penduduk Thai, sama ada yang beragama Buddha mahupun Islam, supaya menderma darah atas dasar kemanusiaan kerana hospital kini mengalami masalah kekurangan darah," menurut seruan itu. - AFP

sumber

0 comments: