Monday, June 8, 2009

Pilihanraya LEBANON - Islam ataupun Kristian?

BEIRUT 7 Jun – Rakyat Lebanon keluar mengundi bagi pilihan raya Parlimen hari ini, di mana Hizbullah yang disokong Iran dan sekutunya akan cuba menggulingkan majoriti yang dipegang pesaing mereka yang mendapat sokongan Barat.

Stesen-stesen pengundian dibuka pada pukul 7 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia) dan kira-kira 50,000 anggota keselamatan ditempatkan di 26 daerah pengundian bagi mengawal situasi daripada berlaku kekacauan, dengan tumpuan yang lebih diberikan ke lokasi yang dijangka berlaku persaingan hebat.

‘‘Tidak akan ada masalah besar hari ini, tapi apabila keputusan diumumkan esok, masalah besar mungkin timbul,’’ kata seorang pemandu teksi, Ali Breiyteh, 25.

Pilihan raya tersebut yang menyaksikan pengundi-pengundi Kristian sebagai penentu kerana mereka menyokong kumpulan pesaing, bakal membentuk kerajaan untuk tempoh empat tahun akan datang. Kereta-kereta berperisai turut ditempatkan di jalan-jalan raya daerah Ashrafiyeh, yang dihuni masyarakat Kristian.

Pilihan raya Parlimen kali ini juga menyaksikan persaingan sengit antara pakatan-pakatan yang berselisih faham ekoran beberapa isu termasuk nasib kumpulan pejuang berfahaman Syiah, Hizbullah dan hubungan dengan negara jiran Syria yang mendominasi Lebanon sehingga 2005. – Reuters

sumber

0 comments: