Saturday, July 11, 2009

Turki Kutuk Kekejaman di XINJIANG

ANKARA 10 Julai – Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini mengutuk apa yang digelarnya `penghapusan kaum’ di Xinjian, China dan meminta supaya kerajaan China campur tangan bagi mengalang lebih banyak korban berlaku.

”Apa yang berlaku di China adalah penghapusan kaum. Tiada perkataan lain yang boleh digunakan untuk menggambarkan keganasan yang berlaku di Xinjiang ketika ini.

“Dengan hubungan baik antara Turki-China, kami meminta supaya pentadbiran negara itu meningkatkan kesungguhan mereka menyelesaikan masalah tersebut, ”katanya Erdogan kepada wartawan yang disiarkan secara langsung di televisyen NTV selepas kembali dari sidang kemuncak Kumpulan Lapan (G8) di Itali.

Sementara itu, Ketua Komuniti Uighur yang dibuang negeri dari barat laut Xinjiang berkata, mungkin beribu-ribu orang telah terbunuh dalam rusuhan keganasan beberapa hari ini.

Ketua Kongres Uighur Dunia, Rebiya Kadeer yang berpangkalan di Washington itu berkata, adalah sukar untuk mengeluarkan jumlahnya secara komprehensif ekoran etnik Uighur telah lama ditindas.

“Menurut laporan yang belum disahkan, angka kematian kini mencecah lebih daripada 1,000 orang dan ada yang melaporkan sehingga 3,000 orang,” kata Rebiya pada sidang akhbar di US Capitol bersama dengan penyokongnya.

Menurut beliau, angka itu bukan sahaja dari ibu kota Urumqi, Xinjiang, tetapi juga dari seluruh rantau tersebut.

Dalam pada itu, agensi akhbar rasmi Xinhua melaporkan jumlah , mereka yang terbunuh sejak rusuhan berdarah itu berlaku Ahad lalu telah meningkat kepada 184 orang.

Menurut laporan itu, antara mereka yang terbunuh adalah 137 etnik Han termasuk 111 lelaki dan 26 wanita dan 46 etnik Uighur.

Kerajaan China sebelum ini melaporkan seramai 156 terbunuh manakala 1,000 cedera dalam rusuhan berdarah di rantau bergolak Xinjiang Ahad lalu. – Agensi

sumber

No comments: