Friday, August 21, 2009

H1N1- Jemaah Umrah Berkurangan di Saudi

ah kurang


beberapa orang jemaah memakai penutup hidung dan mulut menuju ke baitullah untuk mengerjakan umrah, semalam. - AFP


RIYADH 20 Ogos - Bilangan kes jangkitan dan kematian yang semakin meningkat akibat selesema babi di seluruh Asia Barat membayangi suasana bulan Ramadan pada tahun ini, dengan jumlah jemaah yang mengerjakan umrah merosot dengan ketara.

Jumlah jemaah yang tiba di Mekah bermula pada hujung minggu ini untuk mengerjakan umrah sempena Ramadan, lebih rendah daripada biasa, kata penduduk.

Pemilik perniagaan meramalkan perniagaan yang lesu pada bulan Ramadan kali ini memandangkan beberapa negara seperti Mesir, Iran dan Iraq telah mengenakan sekatan ke atas rakyatnya melakukan umrah disebabkan selesema babi.

''Perniagaan di kota suci Mekah dijangka merosot 40 peratus pada bulan akan datang disebabkan kebimbangan mengenai selesema babi,'' kata Saad al-Qurashi daripada Dewan Perniagaan dan Perindustrian Mekah, kepada akhbar Al-Yaum hari ini.

"Bagi umrah, kami mengalami begitu banyak pembatalan tempahan sepanjang bulan Ramadan. Masalah ekonomi dan selesema babi menjadi puncanya," kata Naseem Khan, pegawai daripada Hotel Mercure Grand Umm al Qura yang biasanya menerima jemaah dari Eropah.

Lazimnya, beberapa ratus ribu jemaah tiba di Mekah semasa Ramadan untuk mengerjakan umrah.

Arab Saudi tidak mengenakan peraturan permit bagi pelawat dari mana-mana negara untuk mengerjakan umrah, seperti kuota bagi mengerjakan haji dan umat Islam boleh mengerjakan umrah pada bila- bila masa.

Namun, bilangan kes selesema yang semakin meningkat dan amaran kerajaan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan kebimbangan mengenai bahaya jangkitan ketika berada di khalayak ramai.

Arab Saudi pada minggu ini mengumumkan bahawa jangkitan selesema babi yang dilaporkan telah melebihi 2,000 kes di negara ini sejak kes pertama dikesan pada 3 Jun lalu. Sejak itu, 14 orang telah menjadi korban virus influenza A (H1N1).

Wabak itu telah menular ke hampir semua negara di Asia Barat. Yemen semalam melaporkan kes kematian pertama akibat selesema babi di negara itu, seorang lelaki berusia 40 tahun.

Kes kematian pertama di Asia Barat yang dilaporkan pada 19 Julai lalu melibatkan seorang wanita Mesir yang pulang ke tanah air selepas melakukan umrah. - AFP

sumber

0 comments: