BEIJING 24 Ogos - China dijangka membicarakan lebih 170 etnik Uighur dan lebih 20 etnik Han minggu ini, atas dakwaan terlibat dalam ketegangan etnik berdarah di wilayah Xinjiang, yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Akhbar China Daily memetik pegawai yang enggan dikenali sebagai berkata, perbicaraan akan dilakukan di Mahkamah Pertengahan Rakyat di Urumqi, ibu negeri wilayah itu yang menyaksikan sekurang-kurangnya 197 nyawa terbunuh dalam insiden tersebut.
Seorang pegawai kerajaan yang hanya dikenali sebagai Ma menyatakan yang dia 'tidak mempunyai maklumat setakat ini' mengenai perbicaraan itu.
Keganasan yang berlaku di Urumqi pada 5 Julai lalu antara etnik Han dengan Uighur itu adalah ketegangan etnik terburuk yang pernah berlaku di China sejak beberapa dekad lalu.
China Daily melaporkan, kesemua defendan akan didakwa atas kesalahan menghalang lalu lintas hinggalah tuduhan membunuh yang menunjukkan sebilangan dari mereka mungkin menerima hukuman mati.
Akhbar itu bagaimanapun tidak menyatakan berapa ramai defendan adalah dari etnik Uighur. Namun laporannya menyebut lebih 170 peguam Uighur dan 20 peguam Han telah ditugaskan.
Pendakwa raya telah menyediakan lebih 3,300 barang bukti termasuk batu dan belantan berlumuran darah, 91 rakaman video serta lebih 2,150 gambar. - AFP
0 comments:
Post a Comment