KUALA LUMPUR 30 Okt. - Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) diberitahu, anggota tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mengurung kira-kira 200 tahanan yang didakwa sebagai anggota Taliban di dalam sebuah kontena besi sebelum menembak kontena tersebut serta membiarkan tahanan mati akibat kecederaan, kekurangan oksigen dan kepanasan.
Rhuhel Ahmad, 27, memberitahu, beliau menyaksikan sendiri kekejaman yang dilakukan oleh anggota tentera NATO termasuk dari Amerika Syarikat (AS) ketika ditahan pada awal 2001.
"Saya dan seorang kawan merupakan antara berpuluh orang yang bernasib baik kerana diletakkan di dalam kontena kanvas tetapi seorang lagi kawan yang bersama-sama ke Afghanistan tidak bernasib baik kerana diletakkan di dalam kontena besi itu," katanya.
Rhuhel merupakan saksi kedua yang memberi keterangan kepada KLWCC yang mengadakan pendengaran awam sulung selepas ditubuhkan pada tahun lepas.
Suruhanjaya itu mendengar keterangan daripada enam saksi yang ditahan di kem tahanan tentera laut AS di Teluk Guantanamo serta mangsa-mangsa kekejaman tentera AS di Iraq.
Pendengaran awam itu dipengerusikan oleh Zainur Zakaria, seorang peguam terkenal negara serta turut dianggotai oleh Profesor Hans Von Sponeck (Amerika Syarikat), Dennis Halliday (Irealand), Musa Ismail (Malaysia), Profesor Gurdial Nijar (Australia), Dr. Zulaiha Ismail (Malaysia) dan Profesor Dr. Mohd. Akram Shair Mohamed (Malaysia).
Rhuhel ditahan bersama-sama dua kawannya oleh tentera NATO ketika menyeberang ke Afghanistan untuk membeli dadah selepas menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Pakistan.
Beliau yang ketika itu berusia 18 tahun memberitahu, ramai tahanan di dalam kontena itu dibiarkan mati dan tidak diberikan air selama dua minggu.
Mereka juga dibiarkan berasak-asak dengan jumlah tidak kurang 40 orang di dalam bilik kurungan berkeluasan 5 x 5 meter.
"Saya akhirnya diserahkan kepada tentera AS dan diterbangkan ke Kandahar, Pakistan dengan tangan saya digari, kepala ditutup dengan plastik serta berterusan didera oleh tentera AS dan tidak diberi makan pada hari pertama.
"Pada hari kedua saya diletakkan di dalam khemah bersama-sama 20 orang dan disoal siasat oleh pegawai agensi perisikan AS dan British sebelum dipindahkan ke bilik penjara lain.
"Di sana saya telah dibotakkan dan dipaksa memakai pakaian khas yang mengehadkan pergerakan kaki, tangan serta tidak boleh berdiri sebelum kami dihantar ke Teluk Guantanamo," katanya.
Rhuhel memberitahu, setibanya di Guantanamo, dia telah ditendang berkali-kali oleh askar AS sebelum mereka membuat pemeriksaan menyeluruh, mengambil cap jari dan dihumban ke dalam bilik kurungan daripada simen yang luasnya hanya 2.5 x 3 meter.
Katanya, sepanjang ditahan di situ, dia turut ditemui oleh beberapa anggota perisikan British tetapi mereka memberitahunya bahawa mereka tidak dapat melakukan apa-apa kerana dia berada dalam tahanan AS.
Tambah Rhuhel, selain terpaksa memakai pakaian yang sangat merimaskan itu, tentera AS turut memasang muzik dengan kuat di samping meletakkan anjing yang menyalak setiap masa berhampiran bilik kurungannya.
"Penderaan oleh tentera AS amat menyeksakan serta menyebabkan seluruh badan saya kejang dan saya berdepan dengan masalah halusinasi. Kesan psikologi yang dihadapi oleh tahanan ternyata lebih teruk berbanding kesan fizikal.
"Anggota perisikan British menemui saya setiap enam bulan sekali dan membuat pelbagai dakwaan terhadap saya dan setiap enam bulan mereka akan memberi suntikan yang didakwa sebagai ubat selesema dan ia diberi secara paksa," katanya.
sumber