Saturday, October 31, 2009

Tahanan Bunuh Diri kerana Psiko Tentera AS


Moazzam Begg (gambar kecil) dibantu rakannya menunjukkan bagaimana beliau diseksa semasa berada dalam tahanan pada Persidangan dan Pameran Menjenayahkan Perang 2009 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Okt. – Dia dibiarkan mendengar jeritan seorang wanita yang disoal siasat di bilik bersebelahan. Tujuannya supaya dia percaya bahawa wanita itu adalah isterinya.

Tertekan akibat mendengar jeritan yang disangka suara isterinya itu, menyebabkan Moazzam Begg tidak dapat menahan perasaannya.

‘‘Saya tidak dapat menggambarkan apa yang saya rasa ketika itu terutama apabila saya memikirkan suara jeritan di bilik sebelah adalah suara isteri saya,” katanya ketika berkongsi pengalaman semasa menjadi tahan di Kem Guantanamo, Cuba.

Moazzam yang tidak dapat menahan sebak memaparkan kisah pahit itu pada sesi prosiding Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) di sini, hari ini.

Moazzam menyambung pengalaman tragis itu dengan memberitahu, sejak ditahan, dia berulang kali didesak supaya mengaku melakukan kesalahan yang tidak dilakukan.

Katanya, dia juga diingatkan bahawa nasib keluarganya bergantung kepada pengakuan yang dibuatnya.

Penyeksaan mental, menurut Moazzam adalah tambahan kepada penderaan fizikal yang dikenakan ke atasnya. Turut bersamanya dalam tahanan tersebut adalah lapan warga British. Mereka ditahan tanpa sebarang tuduhan rasmi atau perbicaraan.

Moazzam mendakwa telah diculik di London pada Disember 2001 dan dibawa ke wilayah Kandahar, Afghanistan serta disoal siasat di sana sebelum dihantar ke Guantanamo.

Menurut Moazzam, sewaktu ditahan, dia telah diheret di atas lantai dengan kedua-dua belah tangannya dihela ke belakang dan dibawa ke tempat yang tidak diketahuinya oleh beberapa pegawai yang dipercayainya sebagai ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat dengan senjata api diacu ke kepalanya.

Katanya, para penyiasat juga berulang kali menyoalnya dengan soalan-soalan yang tidak difahaminya seperti bilakah kali terakhir beliau berjumpa Osama bin Laden sedangkan beliau memang tidak pernah bertemu pemimpin rangkaian Al-Qaeda itu.

“Rambut dan janggut saya dicukur selain dipukul dan ditendang bertalu-talu oleh para penyiasat dan mereka juga tidak berhenti-henti bertanya mengenai Osama,” katanya sewaktu memberi pengakuan bersumpah di hadapan panel KLWCC.

Sewaktu memberi pengakuan bersumpah, saksi berusia 41 tahun itu juga menceritakan kekejaman yang dilaluinya sepanjang berada di kem tahanan di Teluk Guantanamo tersebut sehinggalah dibebaskan pada 25 Januari 2005 tanpa melalui sebarang proses pendakwaan.

“Tahanan tidak dibenarkan bergerak, berjalan dan bercakap. Makanan hanya diberi dua kali sehari iaitu roti. Tiada buah-buahan segar mahupun minuman panas diberikan. Begitu juga dengan sayur-sayuran.

“Kami hanya dibenarkan mandi beramai-ramai sekali dalam tempoh dua atau tiga minggu sekali. Kami juga dibogelkan dan diikat,” jelasnya lagi.

Moazzam yang beragama Islam berkata, haknya untuk bersolat dinafikan dan seingatnya, dia tidak menunaikan solat Jumaat selama tiga tahun pertama di kem berkenaan.

Dia mendakwa menyaksikan bagaimana dua tahanan dibunuh dengan kejam apabila kepala mereka dihentak dengan objek tumpul oleh askar AS.

Katanya lagi, dia percaya tentera Amerika juga telah mempengaruhi beberapa tahanan menerusi pakar psikologi tentera untuk membunuh diri kerana cara mereka meragut nyawa sendiri itu hampir sama.

Lelaki tersebut turut merayu suruhanjaya itu untuk membawa kesnya ke tribunal jenayah perang kerana layanan yang diterimanya sepanjang berada dalam tahanan tentera AS adalah di luar batas-batas kemanusiaan.

sumber

0 comments: