Saturday, November 28, 2009

9 Askar SAUDI Ditawan

RIYADH 27 Nov. - Sembilan askar Arab Saudi didapati hilang berikutan pertempuran antara pasukan keselamatan negara ini dengan pemberontak Syiah Yemen di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Pemberontak Syiah Zaidi itu dipercayai telah menahan askar tersebut sebagai tawanan, kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Saudi semalam.

"Pemberontak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka yang hilang," kata jurucakap itu sambil menyebut nama askar-askar yang hilang.

Media Arab Saudi semalam menyiarkan gambar askar-askar negara ini yang dilaporkan ditawan dalam operasi tentera yang masih dijalankan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan bagaimanapun tidak menyebut bilangan askar atau orang awam Arab Saudi yang terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Menurut anggaran tidak rasmi, sekurang-kurangnya sembilan askar Arab Saudi serta empat orang awam terbunuh dalam pertempuran itu.

Pemberontak Syiah Zaidi yang juga dikenali sebagai Huthi itu bertempur dengan askar kerajaan Yemen sejak Ogos lalu dalam konflik yang bermula pada 2004.

Tentera Arab Saudi menyertai pertempuran itu buat kali pertama dengan melancarkan serangan udara dan meriam pada 4 November lalu, selepas sekumpulan kecil pemberontak memasuki wilayah Arab Saudi lalu membunuh seorang pengawal sempadan. - AFP

sumber

0 comments: