DHAKA 28 Nov. - Sekurang-kurangnya 37 orang mati lemas, manakala berpuluh-puluh lagi masih hilang selepas sebuah feri membawa lebih 1,000 penumpang karam di selatan Bangladesh, malam tadi.
Kesemua penumpang itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya Aidiladha.
Sekurang-kurangnya 37 mayat termasuk empat kanak-kanak telah dikeluarkan.
Kemalangan itu berlaku selepas tengah malam tadi sewaktu feri MV Coco-4 menghampiri sebuah stesen tepi sungai di pulau Bhola, kata ketua polis tempatan, Zakir Hossain.
"Feri itu sesak dengan lebih 1,000 penumpang. Ia menjadi senget dan sebahagian feri karam disebabkan berat penumpang ketika hendak masuk ke stesen tepi sungai Nazirpur," kata beliau.
Anggota polis, bomba dan penduduk tempatan berkejar ke kampung terpencil tersebut, kira-kira 250 kilometer ke selatan Dhaka, untuk menyelamatkan penumpang yang terperangkap.
"Sehingga kini kami berjaya menyelamatkan lebih 50 orang dengan memecahkan kabin di tingkat bawah.
"Mereka dibawa ke sebuah hospital tempatan tetapi tujuh orang penumpang berada dalam keadaan sangat kritikal. Berpuluh-puluh lagi masih terperangkap di dalam air," kata inspektor polis, Nazrul Islam.
Ahli Parlimen, Abdullah Al Islam berkata, pihak berkuasa menghantar sebuah kapal tunda untuk menarik feri berkenaan ke tebing.
"Kami tidak tahu berapa ramai yang masih terperangkap, mungkin lebih 100 orang, kecuali bahagian yang sendeng itu dapat dinaikkan," katanya.
Polis berkata, kebanyakan penumpang dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing selepas feri tiga tingkat itu menjadi senget apabila penumpang panik.
"Mangsa yang terselamat memberitahu kami, mereka menjadi panik dan bergegas turun dari feri selepas mendengar satu bunyi kuat di geladak bawah," kata Abdullah.
Feri tersebut meninggalkan ibu negara, Dhaka petang semalam. - AFP
0 comments:
Post a Comment