Sunday, January 24, 2010

HAITI: 110,000 disahkan maut



SEBUAH rumah terbakar akibat perbuatan khianat sebilangan pencuri di Port-au-prince, kelmarin. - AFP


PORT-AU-PRINCE 23 Jan. - Lebih 110,000 orang disahkan terkorban dalam bencana gempa bumi yang menggegarkan Haiti, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri semalam, menjadikannya rekod korban paling ramai di benua Amerika.

Kementerian meletakkan angka kematian akibat bencana alam yang berlaku 12 Januari lalu itu pada 111,499, satu lonjakan besar berbanding anggaran kerajaan seramai 75,000 terbunuh sebelum ini.

Kenyataan kementerian itu menyatakan, seramai 193,891 turut cedera dalam kejadian gegaran sekuat 7.0 pada skala Richter yang melanda Port-au-Prince itu.

Lebih 609,600 orang kini terpaksa tinggal di 500 kem sementara berbanding angka 500,000 sebelum ini. Pegawai Haiti sebelum ini menyuarakan kebimbangan angka kematian dalam gempa bumi paling buruk yang dialami negara ini sejak berkurun lamanya mungkin melepasi 200,000 orang.

Kementerian menyatakan, 'keperluan semakin mendesak' untuk tempat perlindungan sementara dan akses kepada asas penting seperti makanan, air minuman, bekalan perkhidmatan perubatan, kumbahan, beg mayat, kubur besar, sokongan pendidikan dan psikologi.

Haiti juga menghentikan fasa operasi mencari dan menyelamat selepas 132 orang berjaya diselamatkan dari celah runtuhan, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini. Seorang wanita berusia 84 tahun dan pemuda berusia 22 tahun adalah mangsa terakhir diselamatkan semalam, kira-kira 10 hari selepas gempa bumi melanda.

PBB menyatakan, kerajaan Haiti mengumumkan tamatnya usaha menyelamat pada pukul 4.00 petang (pukul 5 pagi tadi). Sebanyak 67 pasukan mencari dan menyelamat dengan 1,918 petugas serta 160 anjing pengesan menyelongkar runtuhan bangunan di Port-au-Prince, pekan dan perkampungan di selatan Haiti untuk mencari mangsa yang terperangkap.

PBB menambah, bilangan penduduk yang meninggalkan Haiti juga bertambah dengan lebih 130,000 orang mengambil kesempatan terhadap tawaran pengangkutan percuma ke bandar lain oleh kerajaan.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) menyatakan, bencana Haiti adalah yang paling dahsyat di rantau ini selepas gempa bumi di Peru pada 1970 yang membunuh 70,000 orang. - AP

Sumber