Saturday, February 27, 2010

AFGHANISTAN: Letupan berani mati, 17 maut


KABUL 26 Feb. - Seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di pusat bandar ini hari ini, mengakibatkan sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh, korban terbesar dalam tempoh beberapa bulan serangan di ibu negara Afghanistan ini dan yang pertama sejak tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan baru ke atas Taliban.

Menurut seorang pegawai kanan polis, beberapa orang rakyat asing turut terkorban dalam serangan itu.

"Seramai 17 orang, termasuk rakyat Afghanistan dan India serta polis telah terbunuh, manakala 32 yang lain cedera, " kata Sayed Abdul Ghafar Sayedzada, ketua polis jenayah Kabul.

Kumpulan militan yang melancarkan pemberontakan hebat terhadap kerajaan Afghanistan yang disokong oleh Barat dan lebih 121,000 tentera asing yang berpengkalan di negara ini, menghubungi AFP mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Satu letupan besar dan sekurang- kurangnya terdapat dua letupan kecil menggegarkan sekitar kompleks membeli-belah dan hotel Safi Landmark sejurus selepas subuh, hari cuti bagi umat Islam dan hari paling senyap berbanding kebiasaan di ibu negara Afghanistan.

Menurut pegawai Afghanistan, seorang pengebom berani mati telah mencetuskan serangan tersebut manakala dua yang lain mungkin dilakukan oleh penyerang yang telah ditembak mati oleh pihak polis.

Beberapa bunyi tembakan menggegarkan sekitar kawasan tersebut ketika ambulans tiba di tempat kejadian dan asap hitam kelihatan berkepul- kepul naik ke udara.

Menurut saksi, mangsa yang masih memakai pijama telah dibawa keluar dari rumah tumpangan di kawasan tersebut menaiki ambulans.

Kawalan di bandar Kabul yang diperketat semakin tenang sejak 18 Januari lalu apabila anggota bersenjata Taliban menyerang pusat komersial di bandar itu, mengambil alih semua bangunan selain menyebabkan lima orang terbunuh akibat pengebom berani mati yang meletupkan diri.

Serpihan kaca betaburan di jalan raya di luar Hotel Park Residence, sebuah rumah tumpangan yang sering dikunjungi pelancong asing di tengah bandar ini.

Seorang pemberita AFP berkata, terdapat kawah yang besar di jalan raya tersebut kesan letupan itu.

Sementara itu, presiden Hamid Karzai mengutuk serangan berani mati tersebut yang disifatkan tidak akan mengancam hubungan antara Afghanistan dan India. - AFP

Sumber

0 comments: