Saturday, February 27, 2010

BRITAIN: Sambutan Maulud di seluruh dunia



Umat Islam berkumpul di Taman Silang Monas, Jakarta sempena sambutan Maulidur Rasul di Indonesia, semalam. - AFP


ROCHDALE , Britain 26 Feb. - Umat Islam di seluruh dunia hari ini menyambut Maulidur Rasul dengan menyertai perarakan, menyalakan lilin dan mengagih-agihkan manisan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Maulidur Rasul disambut pada setiap 12 Rabiulawal menurut kalendar Hijrah bagi memperingati hari keputeraan Nabi Muhammad SAW.

Di Rochdale, Britain, beribu-ribu umat Islam berhimpun pada satu majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran Majlis Masjid Rochdale.

Sambutan di Rochdale bermula dengan para jemaah mendengar khutbah dan bersolat sebelum bersurai.

Di Indonesia, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyeru rakyat negara itu agar mencontohi keperibadian Nabi Muhammad dan menjadikannya sebagai inspirasi bagi membangunkan demokrasi di republik itu.

"Demokrasi perlu diamalkan dengan penuh adab dan beretika seperti yang ditunjukkan Nabi Muhammad," kata Presiden itu di hadapan berpuluh-puluh ribu umat Islam yang berhimpun.

Di Chechnya, Maulidur Rasul disambut agak berbeza apabila umat Islam mengadakan pertunjukan bunga api di Masjid Besar dekat Grozny.

Laman-laman web di seluruh dunia turut mengadakan sambutan memperingati keputeraan Nabi Muhammad secara dalam talian.

Laman web celebratemercy.com antara yang mengambil inisiatif menganjurkan sambutan Maulidur Rasul secara dalam talian dengan menghimpunkan penceramah-penceramah agama terkenal dan penghibur Islam termasuk Yusuf Islam atau penyanyi Cat Stevens.

Ia menyiarkan lagu-lagu yang memuji Nabi Muhammad, sedutan ceramah serta puisi yang merujuk kepada pemimpin Islam tersebut. - Agensi

Sumber

0 comments: