Saturday, February 27, 2010

Gempa: Hampir 50 peratus KDNK HAITI musnah


PORT-AU-PRINCE 26 Feb. - Gempa bumi yang menggegar Haiti pada bulan lalu telah menyebabkan hampir 50 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara Caribbean itu musnah, kata Presiden Haiti Rene Preval, semalam.

Gempa bumi itu bukan sahaja mengakibatkan hampir 300,000 terbunuh tetapi ia turut memusnahkan antara 35 peratus hingga 50 peratus KDNK Haiti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu dengan rakan sejawatnya dari Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva di pangkalan tentera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)-Brazil dekat ibu negara Haiti, Port-au-Prince, yang turut musnah akibat gempa bumi pada 12 Januari lalu.

"Apa yang penting sekarang adalah untuk memperkukuh kerajaan Haiti. Di saat getir dan keadaan terdesak ini, kita mesti sama-sama berganding bahu," kata Lula dalam rayuannya memohon bantuan untuk rakyat Haiti.

Lula turut meminta masyarakat dunia memansuhkan hutang Haiti.

Kedua-dua kerajaan itu menandatangani perjanjian untuk membantu petani dan sekolah-sekolah Haiti yang terjejas teruk akibat bencana tersebut.

Menurut perangkaan PBB, kira-kira 5,000 sekolah rosak atau musnah di Haiti, sebuah negara paling miskin di Amerika.

Lula merujuk kepada jaminan Sidang Kemuncak Amerika Selatan, baru-baru ini berhubung bantuan bernilai AS$300 juta (RM1.05 juta) untuk Haiti, selain menyatakan satu perjanjian untuk menubuhkan satu dana berjumlah AS$100 juta (RM350 juta) bagi membantu kerajaan Haiti mendapatkan keperluan segera.

Presiden Brazil itu menghabiskan masa kira-kira enam jam di Haiti, melihat kemusnahan akibat gempa bumi itu dengan menaiki helikopter dan mengunjungi satu kawasan terjejas teruk berhampiran lapangan terbang.

Beliau turut menghadiri satu majlis ketenteraan Brazil di pangkalan tentera tersebut di mana beliau bertemu Preval. - AFP

Sumber

0 comments: