Friday, February 26, 2010

INDONESIA: Usaha pencarian diteruskan



Polis dan tentera mencari mayat-mayat di kawasan tanah runtuh yang meranapkan kira-kira 50 rumah di kawasan Ciwidey, Bandung, semalam.- REUTERS


CIWIDEY, Indonesia 25 Feb. - Pasukan penyelamat dengan bantuan anjing pengesan hari ini menyambung misi mencari mangsa yang masih hidup dalam insiden tanah runtuh yang menimbus berpuluh-puluh penduduk dan setakat ini angka kematian kekal 17 orang.

Sekurang-kurangnya dua mangsa berjaya dikeluarkan semalam, sehari selepas tanah runtuh menenggelamkan kediaman, pejabat dan kilang memproses teh di Jawa Barat, kata seorang pegawai penyelamat.

Lebih 1,000 anggota penyelamat termasuk polis dan askar terlibat dalam usaha mencari mangsa yang masih tertimbus di kawasan penanaman teh perkampungan Ciwidey yang sebelum ini memberi pemandangan indah, namun harapan menemui mereka yang masih hidup semakin pudar.

"Sembilan ekor anjing pengesan digunakan pasukan penyelamat hari ini untuk mencari mangsa yang masih hidup," kata jurucakap polis Jawa Barat, Dade Ahmad kepada pemberita sambil menambah, sebuah helikopter juga sedia digunakan bagi sebarang kecemasan.

Seorang pegawai berkata, dua beradik lelaki berjaya dikeluarkan dari runtuhan rumah mereka semalam.

"Mereka dalam keadaan trauma dan lemah namun tiada kecederaan serius," kata Endang yang berada di kawasan kejadian ketika mereka dibawa keluar.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Priyadi Kardono berkata, kesemua 17 mayat ditemui mati dengan 26 lagi dipercayai hilang berdasarkan maklumat anggota keluarga.

Sebelum ini, jumlah mereka yang hilang dikatakan melebihi 70 orang.

Tanah runtuh dan banjir merupakan bencana alam yang berlaku setiap tahun di Indonesia, terutama pada musim hujan dari bulan Disember hingga Februari.

"Cuaca setakat ini masih lagi baik, kami harap hujan tidak turun kerana ia akan menjejaskan operasi ini," kata jurucakap polis, Ahmad yang menambah, tiga jentera pengorek kini sudah tiba di kawasan kejadian. - AFP

Sumber

0 comments: