Tuesday, May 4, 2010

MALAYSIA Hilang 1.9 Juta Ekar kepada BRUNEI

Penyerahan 2 Blok carigali minyak secara sukarela oleh kerajaan Malaysia kepada kerajaan Brunei melalui Surat Pertukaran (Letter of Exchanges) bertarikh 16 Mac 2009 adalah sesuatu yang cukup mengejutkan kerana kerajaan persekutuan tidak pernah membuat sebarang pendedahan ataupun kenyataan rasmi berkenaan penyerahan wilayah negara kepada Brunei Darussalam.

Tindakan kerajaan tersebut hanya diketahui umum selepas Murphy Oil Corporation , sebuah syarikat yang berpengkalan di El Dorado, Arkansas, Amerika Syarikat mengeluarkan laporan dalam laman web syarikat berkenaan bahawa kontrak perkongsian pengeluaran ( production sharing contracts ) bersama Petronas Carigali Sdn Bhd yang melibatkan Blok L dan M yang dianugerahkan oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada tahun 2003 telah dibatalkan. Menurut surat pembatalan bertarikh 7 April 2010, kontrak tersebut dibatalkan oleh Petronas atas sebab Blok L dan M bukan lagi terletak di bawah wilayah Malaysia,


Kenyataan tersebut juga telah disahkan oleh kerajaan Brunei melalui Timbalan Menteri Luar dan Perdagangan Brunei, Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng yang menyatakan bahawa penyerahakkan tersebut bukanlah sesuatu yang baru dan Brunei boleh memulakan kerja carigali pada bila-bila masa di Blok L dan M yang juga dikenali sebagai Blok-blok J dan K oleh Brunei.

DPPKG juga turut mempersoalkan rasional tindakan tersebut yang disifatkan sebagai situasi ‘menang-menang’ oleh Perdana Menteri. Apakah erti kemenangan jika kedaulatan Negara tergadai hanya kerana Petronas diberikan hak bekerjasama dengan kerajaan Brunei membangunkan kawasan tersebut selama 40 tahun tetapi kehilangan hak kepada kawasan tersebut buat selama-lamanya? Hakikat ini lebih kepada situasi “menang sorak kampung tergadai”!

DPPKG juga mahukan kerajaan persekutuan memberikan jawapan kepada rakyat berkenaan laporan bahawa persetujuan untuk menyerahkan Blok-blok L dan M sebagai timbal balas terhadap persetujuan kerajaan Brunei untuk menggugurkan tuntutan ke atas daerah Limbang. Sedangkan sehingga ke hari ini, kerajaan Brunei masih lagi mengekalkan status quo terhadap tuntutan mereka dan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Luar dan Perdagangan Brunei melalui Brunei Times bahawa rundingan pemetaan sempadan antara Brunei dan Malaysia belum lagi bermula.

DPPKG berpendirian tindakan kerajaan pusat menyerahkan Blok-blok L dan M yang terletak di wilayah Sabah dan Sarawak sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak. Jumlah royalti yang bernilai puluhan billion yang sepatutnya diterima oleh rakyat Sabah dan Sarawak melalui Petronas punah dengan sendirinya dengan pembatalan kontrak perkongsian tersebut. DPPKG dengan ini menuntut agar kerajaan persekutuan membayar balik kerugian yang ditanggung oleh rakyat Sabah dan Sarawak hasil tindakan kerajaan menyerahkan kawasan berkenaan kepada Negara Brunei.

DPPKG menggesa agar rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak bangkit menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan pusat dan berharap pengundi di Parlimen Sibu memberikan isyarat jelas kepada kerajaan BN pada pilihanraya kecil yang akan datang.

DPPKG juga menyeru agar semua pihak, tanpa mengira latar politik, badan-badan bukan kerajaan, dan individu-individu menyatakan bantahan terhadap tindakan kerajaan BN yang menggadaikan kedaulatan Negara hanya atas dasar kepentingan ekonomi. Marilah sama-sama kita berdoa, agar kecurangan dan pengkhianatan kerajaan BN kepada Negara yang tercinta ini akan segera berakhir.

HARIS BIN ALIMUDIN

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS

Kawasan Gopeng.

sumber

0 comments: