![]() |
| PENGIKUT Qadiani bersedia mengebumikan seorang mangsa yang terbunuh di kawasan perkuburan khas mereka di Rabwa, 150 kilometer dari barat laut Lahore, semalam . - AP |
ISLAMABAD 29 Mei - Ahli keluarga hari ini mengebumikan mangsa-mangsa serangan di dua masjid pengikut minoriti Ahmadi atau Qadiani di timur bandar Lahore.
Angka kematian akibat serangan yang dilakukan semalam di masjid Model Town dan Garhi Shahu itu mencecah 93 orang hari ini dengan lebih 100 orang lagi yang cedera masih dirawat dihospital.
Beberapa ahli keluarga mangsa menyalahkan kerajaan kerana kurang kawalan keselamatan di tempat ibadat.
Polis kini menyoal siasat seorang daripada dua suspek remaja yang ditahan selepas serangan tersebut, sementara yang lainnya dirawat di hospital tempatan selepas ditahan dan dipukul oleh penganut mazhab tersebut.
Kumpulan militan yang mempunyai perkaitan dengan Taliban dan al-Qaeda mengaku bertanggungjawab atas pengeboman itu dan memberi amaran akan melancarkan lebih banyak serangan.
Pemimpin tempatan Qadiani, Khalid Raja berkata, komuniti ini akan tetap hidup aman dan tidak akan melancarkan bantahan jalanan atau membuat tuntutan kepada kerajaan.
Pengikut Ahmadi meliputi kira-kira 4 juta daripada 180 juta penduduk Pakistan dan diisytiharkan sebagai bukan Islam pada 1974 kerana menganggap pengasas, Mirza Ghulam Ahmad sebagai rasul, satu tindakan yang ditentang Islam kerana rasul terakhir ialah Nabi Muhammad.
Kumpulan ini sering menjadi sasaran, tetapi serangan semalam adalah yang pertama melibatkan Taliban dan al-Qaeda. - DPA

0 comments:
Post a Comment