Tuesday, May 18, 2010

Pesawat AFGHANISTAN Terhempas, 43 Maut

KABUL 17 Mei - Sebuah pesawat penumpang Afghanistan terhempas di kawasan pergunungan utara negara ini hari ini ketika membawa 43 orang penumpang termasuk tiga warga Britain dipercayai terkorban, demikian menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri.

Pesawat Pamir Airways sedang dalam perjalanan dari wilayah Kunduz ke Kabul apabila nahas berlaku di kawasan pergunungan Hindu Kush. Punca nahas masih belum dipastikan.

Kerajaan berkata, kapal terbang itu terputus hubungan radio kira-kira 30 kilometer dari ibu negara. Ia menerbangkan 38 penumpang dan lima krew, jelas jurucakap kementerian, Zemarai Bashary.

"Saya mengesahkan pesawat Pamir Airways terhempas di pergunungan Salang dengan 38 penumpang dan lima krew.

"Terdapat enam orang asing terlibat namun ketika ini hanya tiga disahkan berasal dari Britain," katanya.

Kerajaan Afghanistan mengarahkan satu pasukan ke kawasan pergunungan itu untuk mencari bangkai pesawat dan mangsa terselamat, dengan meminta pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk turut membantu dalam usaha tersebut.

"Kami meminta Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) untuk menolong mencari tapak lokasi nahas menggunakan pesawat tanpa juruterbang mereka," kata Bashary.

Menurut laman webnya, Pamir Airways diasaskan pada 1995 dan merupakan syarikat penerbangan paling lama di Afghanistan dan memiliki dua pesawat Boeing 737 yang paling baru didaftarkan di negara ini.

Pamir Airways terbang enam hari dalam seminggu menghubungkan Kabul dan Kunduz. Selain laluan domestik, ia turut melakukan penerbangan ke Dubai, New Delhi, Jeddah dan Riyadh. - AFP

sumber

0 comments: