LISBON 12 Mei – Dalam pengakuan bersalah gereja tentang skandal penderaan seks paderi, Pope Benedict XVI semalam menyatakan bahawa penganiayaan terbesar institusi ini adalah ‘berlaku akibat dosa-dosa gereja itu’ dan bukan daripada kempen orang luar.
Menurut Pope, gereja Katholik selalu terseksa dengan masalah yang dibuatnya sendiri, satu kecenderungan yang melemahkan ketika ini dan ‘tindakan yang benar-benar menggerunkan’.
“Gereja itu perlu benar-benar insaf, menerima penyucian, belajar memaafkan dan juga perlu mengadili pesalah.
“Namun kemaafan bukan pengganti kepada menuntut keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan di dalam pesawat yang menuju ke Portugal sempena lawatan selama empat hari ke negara itu.
Dalam kenyataan yang berlainan dengan dakwaan asal Vatican yang menyatakan gereja merupakan mangsa kempen media dan kumpulan pro-perkahwinan sejenis, Benedict memberitahu, penganiayaan terbesar ke atas gereja ini bukan datang dari musuh atau pihak luar, tetapi lahir daripada dosa-dosa gereja itu sendiri.
Beliau dalam pada itu turut berjanji bahawa pihak gereja akan mengambil tindakan untuk melindungi kanak-kanak dan mengadili paderi yang terlibat dengan penderaan seksual.
Benedict mula membersihkan semula nama gereja, menerima beberapa peletakan jawatan Biskop yang mengaku mencabul kanak-kanak atau melindungi paderi yang melakukan perbuatan itu.
Pengkritik bagaimanapun meminta lebih daripada itu. Mereka mahukan supaya Benedict menghukum pihak gereja dan menerima beberapa peletakan jawatan Biskop, yang mana sebelum ini tidak pernah dihukum atau dilucutkan jawatan walaupun telah mengaku mencabul kanak-kanak.
“Ramai yang telah bosan mendengar tentang kenyataannya. Kini mereka mahu tindakan tegas pula diambil,” kata David Clohessy, pengarah kumpulan utama mangsa cabulan paderi Amerika Syarikat (AS), Survivors Network. – AP
0 comments:
Post a Comment