Monday, May 17, 2010

SUDAN - Hasan Turabi Ditangkap

KHARTOUM 16 Mei - Pihak berkuasa Sudan hari ini merampas akhbar parti pembangkang Parti Kongres Popular (PCP) selepas menahan pemimpinnya, Hassan Al-Turabi.

"Selepas menahan setiausaha agung PCP, pihak berkuasa menyerbu ke bangunan percetakan harian Rai al-Shaab dan merampas semua salinan akhbar berkenaan," kata Kamal Omar, ketua politburo PCP.

"Pihak berkuasa kemudian mengambilalih pejabat akhbar yang terletak di tengah Khartoum itu dan mengarah semua wartawan meninggalkan bangunan itu," katanya.

Ketua pengarang akhbar berkenaan Abuzerr Ali Al-Amin turut ditahan, katanya kepada AFP melalui telefon.

"Pada kira-kira pukul 9.10 pagi (2.10 petang waktu Malaysia), sekumpulan pasukan keselamatan dan pegawai penyiasat datang ke rumah saya dan mengarah saya ke kereta dan membawa saya kepada salah seorang pegawainya"

"Mereka tidak memberi sebarang alasan atas penahanan saya dan selepas dua jam kemudian saya masih belum disoal siasat," kata Abuzerr.

Hassan seorang ikon Islam yang turut menjadi mentor kepada Presiden Sudan Omar al-Beshir sebelum beliau menjadi seorang pengkritik hebat Beshir, ditahan awal hari ini, kata pegawai parti.

Parti beliau menyertai pilihan raya umum yang diadakan bulan lalu tetapi selepas pengundian berakhir pada 15 April lepas, Hassan telah mengecam berlaku penipuan dan tidak mahu partinya bergabung dengan kerajaan baru Sudan.

Beshir telah diisytihar menang pada pilihan raya pelbagai parti yang pertama di Sudan sejak 1986 yang dicemari oleh pemulauan pihak pembangkang, masalah logistik dan dakwaan berlaku penipuan. -AFP

sumber

0 comments: