Friday, May 14, 2010

Waris Abuya Akan Perjuangkan Perniagaan Ikhwan Global

Keluarga Ashaari Muhammad reda dengan pemergian pengasas Al Arqam itu dan berazam untuk mempertahankan empayar perniagaan yang ditinggalkannya.

Anak lelaki sulungnya, Fakhrur Razi, 48, kini memangku tugas Ashaari sebagai pengerusi eksekutif di syarikat Global Ikhwan Sdn Bhd.

Syarikat tersebut diasaskan lebih setahun lalu selepas pihak berkuasa mengenakan tekanan ke atas Rufaqa Corporation Sdn Bhd yang ditubuhkan oleh pengikut Ashaari (kiri) pada 2006.

Ashaari, 73, lebih dikenali dengan panggilan Abuya oleh para pengikutnya, meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh, Perak pada pukul 2.10 petang semalam.

Beliau sebelum itu dimasukkan ke hospital itu kerana jangkitan paru-paru.

Mengulas pemergian bapanya itu, Fahrur Razi berkata, rancangannya setakat ini adalah untuk mempertahankan empayar yang diasaskan oleh bapanya itu.

"Yang pertama sekali, saya akan pastikan empayar ekonomi dan korporat yang diasaskan Abuya dapat dipertahankan. Itu sudah cukup baik," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, beliau juga menjalankan tugas berkenaan selaku timbalan pengerusi eksekutif syarikat tersebut.

"Secara fizikalnya, Abuya sudah tidak boleh jalankan tugas lagi sejak Disember 2006 dulu. Saya yang memangku tugas dia," katanya lagi.

Tambahnya, syarikat itu kini berjaya menubuhkan sebanyak 20 buah bandar mini yang disokong oleh aktiviti perniagaan oleh anggotanya.

"Perniagaan ini seperti pasaraya, kedai dobi dan pemprosesan makanan," kata Fakhrur Razi yang pernah menuntut secara tidak formal dalam jurusan bahasa Arab dan Syariah.

Fakhrur Razi juga merupakan antara pengikut terawal Ashaari yang menubuhkan pergerakan Al-Arqam pada 1968.

"Saya dibawa ketika (Ashaari) pergi ke perjumpaan-perjumpaan sejak kecil lagi, semenjak beliau aktif berpolitik," kata anak kelahiran Sekinchan, Selangor itu.

Katanya lagi, seluruh anggota syarikat itu kini sedang berkabung selama seminggu.

Anggota syarikat berkenaan kini berkumpul di rumah-rumah tamu syarikat di seluruh negara untuk mengadakan acara tahlil.

"Selepas ini barulah kita tumpukan agenda perniagaan kita," kata anak lelaki sulung daripada 38 orang adik beradik itu.

Selain itu, Ashaari meninggalkan seramai 200 orang cucu serta 64 orang menantu.

"Ramai kerana ahli keluarga Abuya ramai yang mengamalkan poligami," katanya lagi.

Jelasnya, kekuatan empayar yang ditubuhkan bapanya itu diasaskan oleh kasih sayang dan semangat perpaduan dalam keluarga.

"Kita akan teruskan budaya perpaduan dan kasih sayang, sama seperti zaman beliau masih hidup," katanya lagi.

sumber

No comments: