Wednesday, June 16, 2010

100,000 Warga KYRGYZSTAN Lari ke UZBEKISTAN

OSH 15 Jun - Krisis kemanusiaan disebabkan puluhan ribu pelarian yang melarikan diri daripada sengketa etnik di selatan Kyrgyzstan semakin meningkat hari ini sekalipun tanda-tanda awal menunjukkan keganasan sudah mula reda.

Uzbekistan terpaksa bergelut dengan masalah puluhan ribu pelarian etnik Uzbek yang menyeberangi sempadan untuk menyelamatkan diri daripada pertempuran dengan etnik Kyrgyz yang menyebabkan sekurang-kurangnya 171 orang maut dan 1,800 lagi cedera.

Sehingga 100,000 pelarian dianggarkan sudah pun berkumpul di kawasan sempadan sebelah Uzbekistan setelah meninggalkan bandar-bandar Osh dan Jalalabad di selatan Kyrgyzstan.

Bagi membendung kebanjiran pelarian itu, pihak berkuasa Uzbekistan berkata, pintu sempadan akan ditutup, sekalipun pertubuhan bantuan merayu supaya membiarkannya dibuka.

Duta-duta negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa supaya kedaulatan undang-undang kembali ditegakkan di Kyrgyzstan sementara Rusia memberi amaran, situasi 'yang tidak boleh dibiarkan' di negara itu mungkin menjadi tidak terkawal.

Bunyi tembakan sekali-sekala kedengaran di Osh malam tadi dan keadaan masih tegang di bandar ini hari ini.

Bagaimanapun, hanya beberapa tembakan kedengaran semasa kedua-dua pihak melakukan pertukaran 'tawanan', berbanding tembakan yang hampir berterusan beberapa hari lalu.

Wartawan AFP menyaksikan sekumpulan 20 lelaki etnik Kyrgyz dan sejumlah sama lelaki etnik Uzbek menghampiri satu sama lain di kawasan lapang yang memisahkan kedua-dua kelompok etnik itu di bandar ini.

Dua kumpulan itu masing-masing mengiringi seorang wanita. Mereka bertemu dan segera bertukar-tukar wanita yang diiringi sebelum berpatah balik ke kawasan kediaman mereka dalam 'pertukaran tawanan' itu.

Ketua polis wilayah Osh, Omurbek Suvanaliyev berkata, keganasan di bandar ini serta kawasan sekitarnya dipercayai reda sejak malam tadi dan keadaan di selatan Kyrgyzstan nampak semakin stabil.

Pihak berkuasa di Jalalabad, beberapa kilometer ke utara Osh, juga memberi gambaran yang sama. - AFP

sumber

0 comments: