Wednesday, June 9, 2010

2 Pelajar MALAYSIA yg Ditahan di YAMAN Dibebaskan

PUTRAJAYA 9 Jun - Dua pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Yemen kerana disyaki terbabit dengan rangkaian al-Qaeda, telah dibebaskan pada 30 Mei lepas dan dihantar pulang ke negara ini Rabu lalu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, siasatan yang dilakukan Kedutaan Malaysia di Yemen juga mendapati mereka tidak terlibat dengan mana-mana pertubuhan pengganas atau al-Qaeda seperti yang disangkakan sesetengah pihak.

"Mereka hanya pelajar biasa, tetapi mereka cuma tidak mengetahui mengenai keperluan-keperluan.

"Bagaimanapun, kita menghormati undang-undang Yaman dan mereka telah dihantar pulang pada 2 Jun,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Wisma Putra di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan pelajar terbabit bersama 58 individu lain kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rangkaian al-Qaeda serta mempunyai hubungan dengan Umar Farouk Abdulmutallab, warga Nigeria yang cuba meletupkan kapal terbang di Amerika Syarikat pada Krismas lalu.

Pelajar terbabit ialah Raziff Mohd Arif, 18 dan Azizul Alfian, 22, kedua-duanya mengikuti pengajian bahasa Arab di sebuah universiti di Sanaa, ibu negara berkenaan, dan mereka dari Sungai Buloh, Selangor.

"Sebenarnya di Yemen, apabila keluar dari kawasan sana, mesti dapat kebenaran daripada pihak berkuasa di sana, tetapi dua pelajar itu telah pergi menziarah rakan, telah ditahan dan mereka disyaki sebagai terlibat dengan kumpulan lain,” kata Anifah.

Sehubungan itu, katanya beliau telah mengarahkan Kedutaan Malaysia di Yemen, Mesir dan Jordan memberi taklimat mengenai undang-undang negara-negara berkenaan kepada pelajar Malaysia yang berada di sana.

Katanya langkah itu bagi memastikan mereka mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada di negara tersebut. - Bernama

sumber

No comments: