Tuesday, June 22, 2010

IRAN Halang Pemeriksaan Nuklear

TEHERAN 21 Jun - Iran akan menghalang dua pemeriksa nuklear Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memasuki negara ini selepas mereka mengemukakan laporan 'palsu' mengenai program nuklear Teheran.

Ketua program nuklear Iran, Ali Akbar Salehi hari ini berkata, dua pemeriksa itu juga telah membocorkan maklumat mengenai kegiatan nuklear republik Islam ini sebelum maklumat tersebut diumumkan secara rasmi.

Tindakan terhadap pemeriksa IAEA itu diambil tidak sampai dua minggu selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan kali keempat ke atas Iran, disusuli tidak lama kemudian dengan langkah-langkah sekatan unilateral oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Ia juga diambil selepas IAEA dalam laporan terbarunya membangkitkan kesangsian mengenai matlamat sebenar program nuklear Iran.

"Dua pemeriksa berkenaan tidak berhak untuk datang ke Iran kerana mereka membocorkan maklumat yang belum diumumkan secara rasmi dan mereka juga memfailkan laporan palsu," kata Salehi yang dipetik oleh laporan agensi berita ISNA.

Katanya, Iran telah meminta IAEA menggantikan dua pemeriksa tersebut dengan pegawai baru yang akan dibenarkan melawat negara ini bagi memeriksa kemudahan nuklearnya.

"Dalam mesyuarat terakhir lembaga gabenor IAEA, kami memaklumkan kepada IAEA bahawa laporan yang difailkan oleh dua pemeriksanya tidak betul dan kami menyuarakan bantahan," kata Salehi yang tidak menyatakan identiti kedua-dua pemeriksa itu.

Menurut beliau, keputusan tersebut juga diambil sebagai usaha untuk meyakinkan ahli Parlimen Iran bahawa 'kerjasama Teheran dengan IAEA hanyalah dalam lingkungan kerangka perjanjian perlindungan' antara Iran dengan badan nuklear PBB itu.

IAEA dalam laporan terbarunya mengenai Iran berkata, Teheran meneruskan aktiviti pengayaan uranium tanpa mempedulikan sekatan PBB dan kini menjalankan pengayaan uranium ke tahap ketulenan lebih tinggi.

"Iran belum memberikan kerjasama yang sewajarnya bagi membolehkan agensi ini mengesahkan semua bahan nuklear di Iran adalah untuk menjalankan aktiviti bagi tujuan awam," kata Ketua Pengarah IAEA, Yukiya Amano pada mesyuarat agensi itu awal bulan ini. - AFP

sumber

0 comments: