Tuesday, June 8, 2010

IRAN Hantar 3 Kapal Bulan Sabit Merah ke Gaza

TEHERAN 7 Jun - Persatuan Bulan Sabit Merah Iran akan menghantar tiga kapal bantuan ke Genting Gaza dalam percubaan terbaru untuk melanggar sekatan yang dikenakan ke atas wilayah Palestin itu oleh musuh ketat Teheran, Israel.

Ia juga akan menghantar sebuah pesawat membawa 30 tan peralatan perubatan ke Mesir untuk disalurkan ke Gaza.

Pengarah hal-ehwal antarabangsa Bulan Sabit Merah Iran, Abdolrauf Adibzadeh memberitahu agensi berita rasmi IRNA malam tadi, dua kapal akan belayar ke Gaza pada hujung minggu ini, disusuli kapal ketiga pada tarikh yang belum ditetapkan.

Keputusan untuk menghantar kapal-kapal itu diambil selepas mesyuarat dengan Kementerian Luar.

"Sebuah kapal akan membawa sumbangan bekalan makanan dan ubat-ubatan daripada orang ramai, manakala sebuah lagi akan membawa 70 pekerja bantuan seperti jururawat dan petugas perubatan," kata Adibzadeh.

Katanya, Bulan Sabit Merah telah meminta sukarelawan Iran bertindak sebagai pekerja bantuan untuk mengiringi kedua-dua kapal yang dihantar dengan kerjasama kerajaan Turki itu.

"Sukarelawan yang mahu pergi ke Gaza untuk membantu penduduk Palestin yang tertindas boleh merujuk ke laman web Bulan Sabit Merah dan mendaftarkan diri," kata Adibzadeh.

Menurutnya, kapal-kapal itu pada asalnya hendak dihantar menerusi sebuah negara perantara, tetapi persatuan membuat keputusan untuk menghantarnya terus ke Gaza.

Bulan Sabit Merah Iran pernah menghantar sebuah kapal bantuan membawa makanan dan ubat-ubatan ke Gaza pada Disember 2008, tetapi dihalang daripada menghampir wilayah itu oleh tentera Israel.

Keputusan untuk menghantar dua kapal tersebut diambil selepas tersiarnya laporan mengenai kesediaan pasukan tentera elit Iran, Pengawal Revolusi untuk mengiringi flotila bantuan ke Gaza.

"Jika pemimpin tertinggi revolusi, Ayatollah Ali Khamenei mengeluarkan arahan berhubung perkara ini, tentera laut Pengawal Revolusi akan mengambil langkah praktikal dengan menggunakan keupayaan dan peralatan mereka untuk mengiringi flotila bantuan ke Gaza," kata pegawai Khamenei dalam sayap tentera laut Pengawal Revolusi, Ali Shirazi semalam. - AFP

sumber

0 comments: