Monday, June 14, 2010

KYRGYZSTAN Parah - Sudah 100 Mati, 1000 Cedera

BISHKEK 13 Jun - Tentera dan polis Kyrgyzstan hari ini meronda di kawasan panas di selatan negara ini setelah diberi lampu hijau oleh kerajaan untuk menembak pengganas etnik bagi menamatkan pergolakan yang berlaku ketika angka korban meningkat kepada lebih 100 orang dengan kira-kira 1,000 dilaporkan cedera.

Satu dekri kerajaan yang dikeluarkan semalam menyatakan, tindakan keras tersebut dibenarkan bagi menangkis serangan terhadap kerajaan, cubaan membinasakan kerajaan dan harta persendirian serta melindungi orang awam.

"Keganasan, kegiatan jenayah serta pembunuhan beramai-ramai semakin menjadi-jadi.

"Jika kita tidak mengambil tindakan serta langkah-langkah pencegahan tepat pada waktunya, kekacauan boleh menjadi bertambah serius dan merebak kepada konflik serantau," jelas dekri tersebut.

Kerajaan sementara Kyrgyzstan melalui Kementerian Dalam Negeri hari ini turut menguatkuasakan perintah berkurung di Osh dan dua daerah berhampiran.

"Perintah berkurung dikuatkuasakan di bandar Osh, daerah Kara-Suu dan daerah Aravan," demikian menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Darurat turut diisytiharkan di ibu negara, Jalalabad setelah pertelingkahan etnik merebak di seluruh bahagian selatan Kyrgyzstan.

Timbalan Menteri sementara Azimbek Beknadzarov melalui televisyen kebangsaan berkata, tindakan itu perlu memandangkan ketidakstabilan yang semakin teruk.

Terbaru di Jalalabad, pegawai melaporkan seramai 30 etnik Uzbek mati dibunuh di kampung Suzak, sementara jumlah korban dalam satu lagi serangan ke atas kampung Dostuk di daerah sama masih belum diketahui.

Keganasan di wilayah Osh tercetus lewat Khamis lalu apabila pertelingkahan antara etnik Kyrgyz dengan etnik Uzbek berubah menjadi pertempuran jalan, sehingga membuatkan kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung dan mengisytiharkan darurat. - AFP

sumber

0 comments: