![]() |
| Penduduk Palestin beratur menunggu anggota polis Hamas memeriksa pasport mereka untuk menyeberangi sempadan Gaza ke Rafah, Mesir, kelmarin. – AP |
RAFAH, Genting Gaza 9 Jun – Seorang pemuda Palestin yang ingin melanjutkan pelajaran di Malaysia dan seorang lelaki warga emas Palestin yang perlu menjalani pembedahan mata di Mesir merupakan antara beribu-ribu penduduk Palestin yang berpusu-pusu cuba meninggalkan Genting Gaza setelah sekatan ke atas wilayah ini dilonggarkan sedikit.
Sebuah terminal bas penumpang kendalian Hamas di sempadan sebelah Gaza penuh sesak semalam dengan beratus-ratus penduduk Gaza yang cuba mendapat kelulusan semata-mata untuk menghampiri pintu sempadan ke Mesir.
Suasana menjadi kecoh apabila bakal penumpang yang semakin hilang sabar bertengkar dengan pegawai sempadan Hamas yang tidak menang tangan.
Majoriti 1.5 juta penduduk Gaza tidak dapat menjalani kehidupan seperti biasa sepanjang tiga tahun lalu. Sempadan wilayah ini ditutup oleh Israel dan Mesir setelah pergerakan Hamas mengambil alih pentadbiran di Gaza.
Kini, berikutan serangan komando Israel ke atas flotila bantuan awal minggu lepas, terdapat sinar harapan tempoh kegelapan itu mungkin berakhir.
Para pemimpin dunia menuntut sekatan di Gaza ditarik balik atau dilonggarkan ekoran serangan komando rejim Zionis Israel ke atas Flotila Pembebasan yang membunuh sembilan aktivis pro-Palestin di atas salah sebuah kapal bantuan tersebut.
Janji Mesir untuk membuka pintu sempadan Rafah setiap hari dan bukan lagi beberapa hari dalam sebulan, menandakan kelonggaran pertama yang membawa perbezaan ketara.
Namun, hanya mereka yang memiliki pasport atau permit pemastautin asing, atau yang memerlukan rawatan perubatan atau sudah diterima masuk ke universiti asing layak menyeberangi sempadan ke Mesir.
Hani Ihlayyel terperangkap di Gaza sejak pulang untuk cuti musim panas pada 2006 selepas mendapat ijazah kejuruteraan komputer dari sebuah kolej di Kuala Lumpur.
Dia merancang untuk kembali ke Malaysia bagi mengikuti pengajian ijazah lanjutan tetapi sekatan itu memaksanya terus berada di Gaza, di mana dia menghabiskan masa empat tahun bekerja sambilan termasuk menjual dan membeli komputer.
Ihlayyel pernah cuba beberapa kali untuk keluar mengikuti sempadan di Rafah tetapi gagal mengumpulkan semua dokumen yang diperlukan.
Hari ini dia antara penumpang yang menunggu tiket bas di terminal itu untuk menyeberangi sempadan.– AP

0 comments:
Post a Comment