Wednesday, June 23, 2010

Panas Luar Biasa di SAUDI

RIYADH 22 Jun - Suhu tinggi luar biasa pada musim panas serta ribut pasir menyebabkan bekalan elektrik terputus di barat Arab Saudi semalam, sementara negara ini mengalami gelombang cuaca panas yang melemahkan.

Penggunaan tenaga elektrik yang melonjak bagi penggunaan alat penyaman hawa menyebabkan lapan turbin kuasa rosak, sekali gus mengakibatkan bekalan tenaga ke beberapa bandar raya di Saudi terputus, lapor Syarikat Elektrik Saudi.

"Gangguan bekalan pada musim panas ini disebabkan pertambahan dalam beban elektrik," kata pegawai syarikat, Ahmed al-Dubekhi dalam satu kenyataan.

Beliau yang mengeluarkan kenyataan itu sebelum berlaku kerosakan turbin itu berkata, syarikatnya sudah bersiap sedia untuk menghadapi lonjakan penggunaan elektrik.

Suhu di negara ini kini mencecah 50 darjah Celsius, beberapa darjah lebih tinggi daripada biasa.

Gangguan bekalan sering berlaku antara Mei hingga September semasa musim panas di rantau Teluk.

"Gangguan bekalan adalah perkara biasa bagi rantau ini yang akan terus mengalami masalah itu untuk tempoh beberapa tahun akan datang pada musim panas, disebabkan kegagalan mereka untuk memenuhi permintaan tenaga elektrik," kata penganalisis IHS Global Insight Middle East Energy, Samuel Ciszuk.

Meskipun Arab Saudi menghadapi kesulitan untuk meningkatkan kapasiti tenaga elektriknya, situasi di negara ini tidaklah seteruk di negara jiran, Iraq dan Kuwait.

Kuwait selalu mengalami gangguan bekalan setiap hari pada musim panas.

Minggu lepas, suhu di Kuwait mencecah 52 darjah Celsius menyebabkan stesen tenaga di negara itu meningkatkan pengeluaran kepada 99 peratus daripada kapasiti maksimum sekitar 11,000 megawatt. - AP

sumber

0 comments: