Monday, June 28, 2010

Presiden VENEZUELA Terus Kecam Israel

CARACAS 27 Jun - Presiden Venezuela, Hugo Chavez sekali lagi mengecam Israel dengan menggambarkan rejim Zionis itu sebagai sebuah negara yang melakukan pembunuhan kaum dan bertindak sebagai pembunuh bagi Amerika Syarikat (AS).

Chavez yang menerima kunjungan Presiden Syria, Bashar al-Assad semalam meramalkan rejim zionis tersebut akan ditundukkan suatu hari nanti.

Presiden berhaluan sosialis itu kerap mengkritik Israel dan AS dan memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel selepas menuduh rejim Yahudi itu melakukan 'holocaust' dengan melancarkan kempen serangan ke atas Genting Gaza pada awal tahun lepas.

"Israel sudah menjadi cawangan pembunuhan bagi AS. Ia menjadi ancaman kepada kita semua," kata Chavez pada sidang media bersama Assad.

Chavez turut melahirkan sokongan terhadap perjuangan Syria untuk mendapatkan kembali Bukit Golan, yang ditawan oleh Israel pada 1967.

"Wilayah itu akan kembali ke tangan Syria suatu hari nanti. Sudah tentulah kita mahu usaha itu dilakukan secara aman kerana kita tidak mahu perang tercetus lagi," katanya.

Beliau menganggap usaha AS untuk memencilkan Syria dan mencorakkan semula Asia Barat sebagai gagal, dan Israel pula semakin kehilangan sekutu.

Chavez yang sangat popular di dunia Arab kerana pendirian antiimperialis beliau disambut sebagai wira semasa melawat Syria pada 2006.

Assad tiba di Venezuela kelmarin dalam rangka lawatan ke Amerika Latin dan beliau juga dijadual melawat Argentina, Brazil dan Cuba.

Syria sudah mula meningkatkan profilnya di pentas antarabangsa sejak beberapa tahun lalu, tanpa mempedulikan usaha Barat untuk melemahkannya dan menjalinkan hubungan dengan bekas musuh, Turki serta Rusia dan negara-negara Amerika Latin. - Reuters

SUMBER

0 comments: