Tuesday, June 29, 2010

TURKI Tutup Ruang Udara kepada Israel

ANKARA 28 Jun - Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan hari ini dipetik sebagai berkata, negaranya menutup ruang angkasa kepada pesawat tertentu Israel berikutan serangan maut rejim itu terhadap flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Menurut agensi berita Anatolia, pemimpin itu memberitahu pemberita di Toronto bahawa Turki menguatkuasakan larangan tersebut selepas Israel menyerang sebuah daripada flotila yang mengikuti misi kemanusiaan antarabangsa pada 31 Mei lalu.

Perdana Menteri itu yang kini berada di Kanada bagi menghadiri sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20), bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.

Semalam, akhbar Israel Yediot Ahronot melaporkan, Turki tidak membenarkan sebuah pesawat bersama pegawai tentera rejim itu yang menuju tapak peringatan di Auschwitz, Poland daripada melalui ruang angkasanya.

Akhbar itu menyebut, pesawat berkenaan yang membawa lebih 100 pegawai bertugas bertauliah dan tidak bertauliah, terpaksa melencongkan penerbangan mereka.

Menurut akhbar itu, pihak tentera Israel tidak mengeluarkan sebarang reaksi berhubung kejadian tersebut kerana tidak mahu memburukkan lagi perselisihan yang berlaku.

Pegawai penerbangan Turki tidak dapat dihubungi bagi mendapat ulasan lanjut.

Sembilan rakyat Turki maut dalam serbuan berkenaan yang mencetuskan kemarahan Turki dan mendapat kutukan hebat antarabangsa.

Flotila bantuan tersebut belayar ke Gaza bagi mencabar sekatan Israel yang dikuatkuasakan bagi melarang kemasukan senjata dan kelengkapan tentera daripada sampai kepada kumpulan pejuang Palestin yang didakwa menyerang rejim Yahudi itu menggunakan roket, bom dan mortar selama bertahun-tahun. - AP

sumber

0 comments: