BAITULMAQDIS 10 Julai - Israel meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghalang sebuah kapal bantuan kemanusiaan Libya daripada melanggar sekatannya ke atas Genting Gaza.
Duta Israel ke PBB, Gabriela Shalev mengirim sepucuk surat kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon untuk meminta campur tangan masyarakat antarabangsa bagi menghalang kapal itu daripada memasuki perairan Gaza, lapor laman web akhbar Israel, Haaretz hari ini.
"Israel meminta masyarakat antarabangsa menggunakan pengaruhnya ke atas kerajaan Libya supaya menunjukkan sikap bertanggungjawab dan menghalang kapal tersebut daripada belayar ke Genting Gaza," menurut kandungan surat tersebut.
Dalam surat itu Shalev juga memberi amaran, Israel berhak di bawah undang-undang antarabangsa untuk menghalang kapal tersebut daripada melanggar sekatan laut yang dikenakan oleh rejim Yahudi itu ke atas Genting Gaza.
Sebuah pertubuhan kebajikan pimpinan Saif al-Islam Gaddafi, anak lelaki pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, semalam mengumumkan akan menghantar sebuah kapal bantuan dari Greece ke Gaza. - AFP
0 comments:
Post a Comment