PESHAWAR 10 Julai - Angka kematian akibat serangan pengebom berani mati di kawasan sempadan Pakistan semalam melonjak kepada 102 orang hari ini, membuktikan puak militan terus mampu melancarkan serangan maut sekalipun kedudukan mereka semakin lemah akibat digempur oleh tentera.
Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP) atau Pergerakan Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan di Mohmund, wilayah Pashtun di sempadan barat laut dengan Afghanistan, di mana pasukan keselamatan memperhebatkan operasi ke atas militan sejak beberapa bulan lalu.
Serangan semalam adalah yang paling banyak meragut nyawa di Pakistan sejak 105 orang maut dalam letupan di sebuah pasar di Peshawar pada Oktober tahun lepas.
Lima kanak-kanak, berumur lima hingga 10 tahun, serta beberapa wanita adalah antara mangsa yang terkorban semalam, dan angka kematian meningkat selepas pasukan penyelamat yang bekerja sepanjang malam menemui lebih banyak mayat di celah-celah runtuhan bangunan.
"Kami mengeluarkan lebih banyak mayat dari runtuhan berpuluh-puluh kedai yang roboh dalam letupan itu dan bilangan korban meningkat kepada 102 orang," kata penolong pentadbir politik Mohmand, Rasool Khan.
Pengebom meletupkan dirinya di luar pejabat Khan. - Reuters
0 comments:
Post a Comment