Sunday, July 4, 2010

Rundingan Israel-PALESTIN Mungkin Makan Masa 10 Tahun

KAHERAH 3 Julai - Menteri Luar Mesir, Ahmed Abul-Gheit memberitahu, pendekatan duta khas Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat, George Mitchell dalam rundingan tidak langsung Israel-Palestin mungkin memerlukan 10 tahun untuk membuahkan hasil.

"Cara Mitchell mengendalikan konflik itu pasti akan mencapai keputusan, tetapi mungkin dalam masa setengah atau satu dekad," kata Abul-Gheit kepada akhbar Asharq al-Awsat.

Mitchell tiba lewat Selasa lalu untuk satu lagi pusingan rundingan tidak langsung berprofil rendah.

Menurut Abul-Gheit, tiada apa dapat dicapai melalui rundingan yang dikendalikan AS setakat ini.

"Keadaan ini meletakkan rakyat Palestin, Amerika dan Arab dalam situasi janggal dan saya rasa perlu ada satu tindakan segera oleh semua pihak untuk memaksa Israel supaya kredibel dan berdepan dengan asas sebenar konflik," kata beliau lagi.

Semalam, White House menegaskan rundingan itu mencapai kemajuan, walaupun Palestin mengatakan Israel menghentikannya.

"Rundingan itu benar-benar substantif. Kami rasa sepanjang lebih kurang sebulan rundingan berlangsung, jurang yang ada semakin mengecil,"kata Pengarah Kanan Majlis Keselamatan Kebangsaan, Dan Shapiro kepada pemberita semasa taklimat White House menjelang kunjungan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Washington minggu depan.

Mitchell mengadakan pusingan keempat rundingan tidak langsung antara Israel dan rakyat Palestin, yang memberinya masa selama empat bulan sejak rundingan bermula pada April lalu bagi merapatkan jurang dalam isu keselamatan dan sempadan negara Palestin baru.

Sekiranya perkembangan yang cukup dapat dicapai dalam rundingan itu, kedua-dua pihak boleh meneruskan rundingan secara terus. - DPA

sumber

0 comments: